JIKA Jumaat lalu negara dikejutkan dengan pengumuman tarikh pembentangan Bajet 2023 yang dipercepatkan pada 7 Oktober nanti, semalam (Sabtu) pula semua parti politik utama mengadakan pertemuan bersama ahli dan perwakilan.
UMNO mengadakan sesi taklimat khas presiden di bangunan keramat parti, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur; Perikatan Nasional (PN) menganjurkan konvensyen sambutan ulang tahun ke-2 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang; Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Konvensyen Pilihanraya 2022 di Shah Alam manakala Gerakan Tanah Air (GTA) anjur Himpunan Nasional Berjasa di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Sinar Harian, kesemua pertemuan yang berlangsung itu berkisar persediaan setiap parti dan gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam himpunan UMNO, laungan bubar bergema bagi menuntut Parlimen dibubarkan segara untuk memberi ruang kepada PRU15 berlangsung lebih awal.
Laungan reformasi juga turut bergema ketika Konvensyen Pilihanraya PKR diadakan, lebih-lebih lagi ketika presiden dan timbalan presiden sedang berucap di hadapan ribuan ahli yang hadir.
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad pula yakin gabungan itu akan memastikan kemenangan jumlah kerusi yang dipertandingkan mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Begitu juga PN yang sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU15 sekiranya diumumkan dalam masa terdekat.
Maka jika dilihat kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, sudah pasti tempoh masa berbaki kurang lima bulan ini menjadi pecutan terakhir kepada semua parti untuk bersiap siaga merancang jentera dan strategi berperang.
Begitu juga sebagai rakyat, kita perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana yang menetukan masa depan negara, adalah kita!