LIVERPOOL kenduri gol apabila tanpa rasa ihsan membelasah pasukan yang baru dipromosi ke Liga Perdana Inggeris (EPL), Bournemouth 9-0 sekali gus menyamai rekod kemenangan terbesar dalam sejarah liga.
The Reds membuka perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului dua gol dalam tempoh lima minit untuk memulakan pesta gol di Anfield.
Iklan
Iklan
Luis Diaz dan Harvey Elliott mencetak nama selaku penjaring disusuli jaringan jarak jauh Trent Alexander-Arnold - ketiga tiga gol hasil umpanan Roberto Firmino.
Penyerang dari Brazil itu akhirnya menjaringkan gol keempat sebelum Virgil van Dijk menjadikan kedudukan 5-0 pada separuh masa pertama.
Nasib Bournemouth bertambah malang apabila Chris Mepham menjaringkan gol sendiri dan Firmino meledak gol kedua peribadinya pada aksi itu untuk menjadikan kedudukan 7-0.
Fabio Carvalho menjaringkan gol kelapan ketika saingan berbaki lapan minit sebelum Diaz melengkapkan kemenangan bergaya The Reds dengan gol kesembilan.
Kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat Bournemouth dan mereka juga tidak menjaringkan sebarang gol sejak menewaskan Aston Villa pada perlawanan pembukaan.