JURGEN Klopp bangga dengan permainan sempurna Liverpool apabila The Reds menyamai rekod kemenangan terbesar Liga Perdana (EPL) ketika membelasah Bournemouth 9-0 di Anfield.
Roberto Firmino dan Luis Diaz masing-masing meledak dua gol selain satu daripada Harvey Elliott, Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk, Fabio Carvalho dan gol sendiri Chris Mepham melengkapkan kemenangan besar itu.
Ia kali keempat dalam sejarah EPL pasukan menang dengan sembilan jaringan.
Manchester United menewaskan Ipswich 9-0 pada 1995 dan Southampton dengan jaringan sama tahun lalu.
Leicester juga menang 9-0 di Southampton pada 2019.
Skuad kendalian Klopp mencatat kemenangan pertama musim ini dalam cubaan keempat dan membalas kritikan terhadap mereka.
"Setiap pengurus di dunia ialah penghibur yang memberikan persembahan menakjubkan apabila anda menang bola sepak.
"Apabila anda menjawab soalan selepas kalah perlawanan dan anda cuba memberi penjelasan, ia kedengaran seperti mencari alasan.
"Kami tidak gembira dengan cara kami bermain. Kami ada tempoh yang bagus dalam semua perlawanan ketika kami cuba menunjukkan kekuatan kami, dan perkara lain kami cuba perbaiki," kata Klopp.
The Reds dilihat tidak berhenti mengasak kubu lawan seakan melepaskan geram gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan lalu.
"Selepas babak pertama adalah penting kami sekali lagi, meneruskannya, teruskan kerana ia masih di awal musim.
"Pada penghujungnya ia adalah petang yang sempurna buat kami," ujar Klopp.
Fabinho kembali memperkuatkan bahagian tengah Liverpool selepas kekalahan 2-1 kepada Manchester United yang menyebabkan mereka ketinggalan lima mata di belakang juara bertahan, Manchester City.