KUALA LUMPUR - Kesiapsiagaan kontinjen perarakan dan persembahan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka berada pada tahap terbaik.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, pascanilai segera terhadap beberapa kelemahan melibatkan semua pihak telah diadakan sejurus selepas raptai separa penuh pertama semalam.
Iklan
Iklan
"Dari segi persiapan di dataran pula boleh kata hampir siap cuma pemasangan paparan skrin LED belum siap sepenuhnya dan diharap ia dapat dipaparkan menjelang raptai penuh esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan raptai berkenaan.
Selepas hampir dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, Hari Kebangsaan 2022 yang bertema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bakal disambut Rabu ini seawal 7 pagi di Dataran Merdeka secara besar-besaran dengan sasaran seramai 50,000 pengunjung.
Pelbagai acara menarik diatur bagi menyemarakkan sambutan tahun ini termasuk keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta berkuda Diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka. - Bernama