KUANTAN - Kembara Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prihatin anjuran Yayasan UMP dengan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu berjaya mengangkat konsep keharmonian #KeluargaMalaysia.
Kembara disertai 52 sukarelawan itu diadakan bersama komuniti Rumah Panjang Diau Anak Lumut, Pulau Raya, Kapit bermula 19 hingga 25 Ogos lalu.
Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar berkata, pengisian program itu merangkumi khidmat masyarakat, promosi pendidikan, pertandingan inovasi dan demonstrasi teknologi (Arduino) serta pembangunan projek pertanian moden sistem fertigasi dan sistem hidroponik, program gunting rambut, pendawaian eletrik temasuk penanaman pokok menggunakan baja ciptaan penyelidik UMP.
"Melalui kembara itu, peserta berpeluang tinggal bersama keluarga angkat masing-masing bagi merasai kehidupan sebagai penghuni di rumah panjang dan mengenali budaya Sarawak.
"Program ini dapat mengeratkan hubungan baik dengan memberi pendedahan kepada pelajar dan alumni UMP untuk berbakti dengan masyarakat luar bandar serta mengaplikasi bidang inovasi dan reka cipta di lapangan," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Mohd Jamil berkata, program itu selari dengan hasrat mendekatkan universiti kepada komuniti melalui slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat.
"Lebih bermakna UMP turut menyumbang peralatan elektrik solar untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Engcheremin," katanya.
Sementara itu UMP menyampaikan sumbangan Yayasan UMP iaitu selimut, toto, tilam dan barangan lain untuk pelajar asrama.
Katanya, pada program itu, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr Noormazlinah Ahmad turut memperkenal dan mempromosikan produk Pre-Pecto iaitu baja inulin.