Remaja buat aksi 'Superman', zig-zag ditahan

Iklan
Tangkap layar dari video yang tular memaparkan aksi 'Superman' dilakukan seorang penunggang motosikal sebelum dia ditahan polis di LPT1, Kemaman pada Sabtu. - Foto media sosial

KEMAMAN – Tindakan seorang remaja lelaki melakukan aksi ‘Superman’ dan zig-zag ketika menunggang motosikal mengundang padah apabila dia ditahan polis berhampiran Plaza Tol Jabor, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 18 tahun yang beralamat di Bandar Jengka, Pahang itu ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya kira-kira jam 10.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Remaja ini melakukan aksi ‘Superman’ dengan menundukkan kepala selari dengan meter sambil melakukan aksi zig-zag dari lorong kanan jalan ke lorong kiri secara berulang kali sejauh kira-kira dua kilometer.

"Polis telah mengarahkan suspek yang menunggang motosikal EX5 supaya berhenti, namun enggan dan terus memecut laju menghala ke Plaza Tol Jabor,” katanya di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut Hanyan, polis mengekori suspek namun lelaki tersebut membuat pusingan U dan memecut laju melawan arus ke arah Kuantan, Pahang sebelum sekali lagi membuat pusingan U menghala ke Plaza Tol Jabor.

Beliau berkata, ketika melarikan diri, motosikal ditunggang suspek terbabas sendiri kira-kira 50 meter dari Plaza Tol Jabor dan mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada bahagian dagu.

Iklan

"Suspek kemudian berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.