SHAH ALAM - Berapa nilai hibah Tabung Haji (TH) untuk 2018 merupakan perkara ditunggu-tunggu buat pendeposit badan institusi kewangan Islam itu.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan kerajaan akan mengumumkan hibah tahunan dan hibah TH pada Mac lalu.
Namun, kelewatan itu menundang kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan mengapa tiada sebarang pengumuman dibuat bagi melegakan keresahan pendeposit walaupun sudah memasuki April.
Namun semuanya bakal terjawab dalam sidang media Mujahid pada Majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pengumuman Hibah bagi tahun 2018 yang akan berlangsung, jam 3 petang ini.
Mengikut rekod TH, 2012 merupakan tahun tertinggi pemberian hibah TH iaitu 6.5 peratus disusuli 2014 (6.25 peratus dan penambatan 2 peratus hibah haji); 2013 (6 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2015 (5 peratus dan penambahan 3 peratus hibah haji); 2017 (4.5 peratus dan penambahan 1.75 peratus hibah haji) dan 2016 (4.25 peratus dan penambahan 1.5 peratus hibah haji).
Umum mengetahui sebelum ini Mujahid menjelaskan pengurusan lama TH melanggar Akta TH 1995 dalam soal pembayaran hibah kepada pendeposit sejak 2014.
Beliau berkata, terdapat dua syarat yang perlu dipatuhi melalui akta berkenaan mengikut Seksyen 22 (3)(a) iaitu aset TH mesti melebihi liabiliti dan institusi itu perlu merekodkan keuntungan setiap tahun.
Bagaimanapun menurut Mujahid, TH merekodkan defisit sebanyak RM4.1 bilion berakhir 31 Disember tahun lalu di mana menunjukkan pembayaran hibah sejak 2014 melanggar Akta TH 1995.
Susulan itu, TH membuat laporan polis berhubung penyata kewangan 2017 dan bagaimana representasi yang dibuat beberapa eksekutif membawa kepada pengisytiharan bayaran hibah yang melanggar Akta Tabung Haji 1995.
TH melalui kenyataan media berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, 16 Januari lalu.
Rentetan pendedahan Mujahid itu, timbul persoalan adakah mampu TH memberikan hibah seperti tahun-tahun terdahulu sedangkan ketika ini badan kewangan Islam itu merekodkan defisit sebanyak RM4.1 bilion berakhir tahun lalu.
Bagi melegakan hati 9.3 juta pendeposit, TH memberi jamin kumpulan itu mampu memberi hibah atau dividen pada 2018 kepada pendepositnya secara sah.
Namun Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat mengingatkan para pendeposit supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
"Jumlah hibah itu akan bergantung kepada prestasi kewangan TH,” katanya.
Jadi, berapa jumlah hibah, tinggi atau merekodkan jumlah terendah hibah dalam sejarah TH, semuanya bakal diketahui petang nanti.