JBPM Melaka terima aset, anggota baharu hadapi banjir

Iklan
Abu Bakar (dua dari kiri) menyempurnakan pelepasan Kembara Merdeka 'Kempen Kibar Jalur Gemilang' Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, pada Ahad. - Foto Bernama

MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima empat kenderaan pacuan empat roda baharu bernilai kira-kira RM450,000 bagi melancarkan operasi penyelamatan bencana di negeri ini terutama menjelang Monsun Timur Laut.

Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain berkata, pihaknya turut menerima 65 pegawai dan anggota bomba baharu yang ditempatkan di balai-balai bomba seluruh negeri itu sekali gus meningkatkan jumlah kekuatan anggota di negeri itu kepada 517 orang.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, di Melaka kita menjangkakan Monsun Timur Laut akan berlaku lebih awal iaitu pada Oktober berdasarkan situasi banjir yang berlaku pada tahun lepas dan JBPM Melaka telah memperkukuh kekuatan aset dan anggota bagi menghadapi bencana kali ini," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan Kembara Merdeka 'Kempen Kibar Jalur Gemilang' JBPM Melaka dengan kerjasama Melaka Truckers Club (MTC).

Iklan

Abu Bakar berkata, beberapa 'hotspot' banjir di negeri itu juga telah dikenal pasti seperti di Lubok China di Alor Gajah dan Merlimau di Jasin.

Beliau berkata, selain itu, kira-kira 60 anggota dan pegawai dari JBPM Melaka dan JBPM Negeri Sembilan akan menyertai kursus menghadapi bencana di Pulau Melaka pada bulan hadapan.

Iklan

Mengenai Kembara Merdeka 'Kempen Kibar Jalur Gemilang' beliau berkata 47 kenderaan pacuan empat roda JBPM Melaka terlibat dengan kira-kira 100 peserta dari MTC.

Katanya, kembara yang mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan mereka itu akan turut berhenti di beberapa balai bomba di negeri itu dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta pameran, demonstrasi kebakaran dan ceramah keselamatan kebakaran disusun.

"Kempen Kibar Jalur Gemilang bukan hanya untuk mempamerkan semangat cintakan tanah air sempena Hari Kebangsaan namun, ia juga sebahagian inisiatif yang kita laksanakan dalam usaha mendekatkan rakyat dengan JBPM Melaka," katanya. - Bernama