PASIR MAS - Seramai 1,119 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di Kelantan selepas memasuki negara ini menggunakan sindiket penyeludupan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 111 tekong darat turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan imigran seperti bertindak sebagai transporter kepada pendatang asing.
Beliau berkata, tangkapan tertinggi dilakukan di Pasir Mas iaitu 499 orang diikuti Kota Bharu (202) dan Tanah Merah (193).
"Kumpulan pendatang haram ini biasanya akan dihantar menggunakan kenderaan ke negeri-negeri Pantai Barat dengan dijanjikan pekerjaan dalam pelbagai sektor," katanya.
Terdahulu, Muhamad Zaki menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan Kelantan daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) kepada PGA9 di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini juga, PGA Briged Tenggara melibatkan tiga batalion iaitu PGA7, PGA8 dan PGA9 membuat rampasan pelbagai barangan dan kenderaan melibatkan nilai melebihi RM84 juta.
Katanya, kejayaan terbaru adalah melibatkan rampasan rokok pada Khamis lepas di kawasan pintu air Mak Merakam, Tumpat melibatkan rampasan 640,000 batang rokok bernilai RM1.58 juta termasuk cukai.
"Pihak polis terus memperhebat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dengan kerjasama 12 agensi lain.
"PGA juga mengetatkan dan memantau pangkalan-pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok mulai Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang haram dan jenayah rentas sempadan," katanya. - Bernama