Sabah akan bentang RUU Anti Lompat Parti dalam masa terdekat

Iklan
Hajiji bersama presiden dan pemimpin parti komponen GRS memegang lambang GRS pada majlis pelancaran Program Jelajah GRS Parlimen Keningau di Dewan Masyarakat Keningau, Keningau pada Ahad.

KENINGAU - Kerajaan Sabah akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan Anti Lompat Parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu sudah dipersetujui dalam kabinet untuk membawanya ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Katanya, langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

"Kita menyokong Anti Lompat Parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

Iklan

"Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan Anti Lompat Parti supaya kita boleh tidur lena.

"Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik," katanya ketika melancarkan Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau Di Dewan Masyarakat Keningau pada Ahad.

Iklan

Jelajah itu adalah yang pertama selepas dilancarkan pada Mei lalu itu dan turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Sabah tidak mahu ketinggalan untuk mewujudkan undang-undang anti lompat partinya sendiri selepas RUU mengenai perkara itu diluluskan Parlimen.

"Tidak payahlah kita lompat-lompat (parti) lagi," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, GRS mengalu-alukan penyertaan parti-parti tempatan yang berhasrat menyertai gabungan itu.

"GRS adalah jajaran politik baharu yang menyatu-padukan pemimpin dan parti-parti tempatan untuk bersama membangunkan Sabah selaras dengan aspirasi dan mandat rakyat.

"Sudah sampai masanya rakyat Sabah menentukan masa depan negeri melalui GRS. Kita perlu bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah," katanya.