KUALA LUMPUR - Kerajaan dinasihatkan agar tidak mengulangi penderitaan menimpa penduduk di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai kepada penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru dekat sini.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, pengambilan tanah secara 'paksa' oleh kerajaan untuk diberikan kepada pemaju di Kampung Sungai Baru tidak wajar berlaku.
Menurutnya, pengambilan tanah menggunakan pendekatan atau cara agak keras sedemikian sudah begitu lama tidak berlaku di dalam kawasan Wilayah Persekutuan.
"Sebenarnya penggunaan Akta Pengambilan Tanah (APT 1960) telah lama tidak dilakukan di Kuala Lumpur. Kerajaan tidak seharusnya membenarkan pengambilan tanah cara keras.
"Sebab isu yang dihadapi oleh penduduk flat empat tingkat, sama ada isu Kampung Kerinchi atau kawasan sekitarnya, (mereka) menghadapi masalah di kemudian hari termasuk penduduk yang dipindahkan ke Residensi Kerinchi.
"Pada asalnya mereka sangat berterima kasih, tetapi akibat dari perancangan pemaju pada waktu itu, (dan kemudiannya) menjadi beban kepada penduduk asal Kampung Kerinchi apabila tiba-tiba mereka terpaksa bayar kos selenggaraan ratusan ringgit dan sebagainya.
"Dulu ada dana RM1 juta disediakan oleh pemaju untuk bantu pemilik baharu (menyerap yuran selenggaraan). Tetapi duit itu telah habis, perancangan tak ke mana dan tidak berjalan dengan lancar," kata Fahmi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar di Kampung Sungai Baru yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah dan Flat Kampung Sungai Baru, Lele Suzana Kudari dan Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, jika pembangunan asalnya mendapat tentangan daripada penduduk sebagaimana di Kampung Kerinchi memang akhirnya akan menemui kegagalan dan menyukarkan masyarakat awam.
"Jadi kalau nak buat projek biar dapat berkat dari penduduk kampung. Kalau tak dapat berkat, musibah yang akan melanda. Itu yang telah berlaku dan kita tidak mahu ia berulang," kata beliau.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang sebelum ini cuba mempertahankan tanah mereka daripada diambil pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan itu terpaksa akur dengan desakan undang-undang di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.
Kesemua mereka selesai menghadiri sesi pendengaran kedua yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu di Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Wisma JUPEM.
Dalam pusingan kedua proses pendengaran yang diadakan itu juga menyebut kerajaan akan memberi pampasan sekitar RM500 sekaki persegi, sedangkan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) harga ditawarkan adalah RM850 sekaki persegi.