SEREMBAN - Sudahlah murah, malah kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program berkhatan beramai-ramai anjuran Masjid Jamek Dato Bandar Haji Ahmad di Rasah di sini, diberi pula saguhati RM10.
Inisiatif oleh pihak masjid itu sebagai salah satu cara menceriakan 54 kanak-kanak berusia antara 3 hingga 12 tahun yang berjaya menjalani proses kedewasaan mereka.
Pengerusi Kariah Masjid, Datuk Abdul Wahab Mohd Hanipah berkata, kadar bayaran dikenakan untuk setiap peserta hanya RM30, tetapi dikembalikan semula kepada anak-anak.
"Dengan jumlah itu, mereka dapat T-shirt, buku dan juga wang saku RM10.
"Lagipun kita nak bantu kurangkan beban penduduk untuk mengeluarkan kos berkhatan semakin meningkat hari ini," katanya.
Sementara itu, Siti Aisyah Abdullah, 40, berkata, dua anaknya iaitu Roshaam Rhyan Muhd Azwar, 3, dan Muhd Arif Muhd Azwar, 10, pada mulanya takut untuk berkhatan, tetapi perasaan itu berubah sebaik tiba di pekarangan masjid.
"Mereka jadi seronok bila tengok ramai kanak-kanak lain dan kemudian dimandikan pula dengan air semburan bomba.
"Bagi saya ia satu pengalaman menyeronokkan dan paling penting kadar bayaran RM30 dikenakan sangat murah," katanya.
Paling menggembirakan kanak-kanak katanya, apabila setiap peserta diberi duit saguhati RM10.
Mohd Sharif Mohd Nin, 32, pula berkata, dia tertarik dengan program berkhatan beramai-ramai itu kerana kadar bayarannya jauh lebih rendah berbanding menghantar ke klinik swasta.
Paling tidak disangka katanya, apabila pihak masjid bermurah hati memberi RM10 kepada kanak-kanak yang selesai berkhatan sebagai salah satu cara mengambil hati.
"Bagi saya kita bukan bayar RM30, tapi hanya RM20 kerana anak-anak diberi pula duit RM10 selepas itu.
"Baguslah inisiatif diambil pihak masjid ini dan saya memilih menghantar anak dalam program berkhatan beramai-ramai ini kerana seronok dan dapat hilangkan rasa takut anak," katanya.