Aaron- Wooi Yik perlu terus baiki kelemahan

Iklan
Aaron Chia (kiri) bersama Soh Wooi Yik. Foto Bernama

JANGAN berhenti memperbaiki kelemahan diri dan kekalkan keyakinan pada tahap tertinggi sepanjang masa.

Itu adalah pesanan bekas pemain badminton beregu lelaki negara, Koo Kien Keat kepada pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mencipta sejarah muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, pada Ahad.

Iklan
Iklan

Katanya, sebaik meraih kejuaraan pertama di pentas tertinggi, seseorang pemain pasti menjadi tumpuan ramai terutama pihak lawan yang akan mula mengkaji corak permainan serta pendekatan yang digunakan dalam setiap perlawanan.

"Ketika saya berusia 21 tahun dan menang (pingat emas) Sukan Asia 2006 serta jadi juara All England 2007, memang masa itu adalah permulaan orang akan memerhati dan membaca kaedah permainan kita dengan teliti.

Iklan

"Nasihat saya jangan berhenti menjadi pemain yang lebih baik dan kekalkan keyakinan tinggi setiap masa. Kekalkan kepercayaan kepada jurulatih dan maju ke hadapan untuk kejohanan lain yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Olimpik,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Ahad.

Aaron-Wooi Yik, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, mengesahkan gelaran juara dunia selepas menewaskan bekas juara tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 pada final yang berlangsung selama 40 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Iklan

Pencapaian itu menamatkan penantian 45 tahun peminat badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara meraih gelaran juara dunia, selain menjadi hadiah cukup istimewa kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2022 yang bakal disambut 31 Ogos ini.

Mengulas mengenai persembahan cemerlang pasangan negara itu, Kien Keat, muncul naib juara bersama gandingannya, Tan Boon Heong pada Kejohanan Dunia 2010 di Paris, berkata Aaron-Wooi Yik tampil dengan corak permainan yang lebih jelas berbanding sebelum ini.

"Bagi saya mereka masih belum ada satu ‘senjata’ tertentu tetapi dalam kejohanan kali ini mereka bermain dengan amat jelas, mereka ada satu kaedah permainan yang kedua-dua pemain memahami tugas masing-masing di dalam gelanggang,” katanya.

Ini merupakan penampilan keempat Aaron-Wooi Yik di kejohanan dunia dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.

Sejak kejohanan dunia mula dipertandingkan pada 1977, sembilan wakil negara berjaya menjejakkan kaki ke pentas final dengan lima kali dalam acara perseorangan lelaki dan empat kali dalam saingan beregu lelaki.

Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, membuat penampilan terbanyak iaitu empat kali pada edisi 2011, 2013, 2014 yang menyaksikan beliau muncul naib juara, namun kemenangan itu dibatalkan kerana kesalahan berkaitan doping sebelum kembali menyertai kejohanan itu pada 2015.

Turut pernah beraksi Wong Choong Hann (2003) selain beregu adik beradik Datuk Seri Jalani-Datuk Razif Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Kien Keat-Boon Heong pada 2010. - Bernama