SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kombinasi antara bencana banjir yang melanda kawasan Shah Alam, krisis rantaian bekalan global dan pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Mei lalu antara faktor Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) terpaksa menaikkan harga produknya bermula 1 September ini.
Gardenia KL dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kesemua cabaran itu telah memberi kesan yang ketara kepada kos operasi mereka ketika ini.
Kenyataan itu memaklumkan, Gardenia KL sentiasa berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta memastikan bekalan yang optima dan harga berpatutan untuk semua produk.
"Dalam beberapa bulan ini, Gardenia KL telah terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi (sebanyak 25 peratus); serbuk putih telur (lebih daripada 100 peratus); tepung gandum; gluten; susu skim dan bahan-bahan pembungkusan roti.
"Selain daripada faktor-faktor di luar kawalan ini, pelaksanaan gaji minimum yang wajib dipatuhi oleh majikan serta banjir melanda kawasan Shah Alam pada Disember 2021 turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia KL,” menurut kenyataan itu.
Antara produk yang terlibat dengan harga baharu itu ialah Gardenia Original Classic RM3.00; Gardenia Wholemeal RM4.00; rangkaian Gardenia Toast'em RM5.50; Gardenia Twiggies RM2.00; Gardenia Waffles RM1.50 dan Roti Krim Gardenia RM1.10.Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic pula ialah sebanyak RM0.20 (7 peratus) berbanding dengan kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.
"Gardenia KL mengekalkan harga roti Gardenia Bonanza Keluarga pada RM2.75 sebuku, harga mampu-milik untuk roti putih 500 gram (g). Roti Bonanza Keluarga Gardenia ini adalah lebih menjimatkan dan sesuai untuk keluarga yang lebih besar.
"Sebagai perbandingan untuk setiap 100g, roti Gardenia Bonanza Keluarga (RM0.55) adalah lebih murah berbanding roti Gardenia Original Classic (RM0.75),” jelasnya.
Tambahnya, menaikkan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha bagi memaksimakan kecekapan operasi telah dilaksanakan terlebih dahulu.
"Kami kekal komited kepada semua pelanggan kami untuk membekalkan roti segar 365 hari setahun, 7 hari seminggu, tanpa mengira hujan atau panas.
"Kami amat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami selama ini,” kata kenyataan itu.
Pada Ahad, Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia KL, Koh Chin Huat dilaporkan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 September ini.
Ujarnya, kenaikan itu dibuat susulan pengemaskinian harga terhadap 53 jenis produknya.