Orang ramai dilarang guna dron pada sambutan Hari Kebangsaan 2022

Iklan
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini dapat diraikan dengan selamat.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi hantaran di Facebook rasmi pada Ahad berkata, perkara ini juga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan tersebut.

"Suka diingatkan bahawa semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs)," menurut CAAM.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000,” jelasnya. - Bernama