KL City nak jadi tuan rumah separuh akhir Piala AFC Antara Zon

Iklan
KL City muncul juara Piala AFC Zon ASEAN baru-baru ini.

KUALA LUMPUR City FC (KL City) telah mengemukakan permohonan menjadi tuan rumah bagi aksi separuh akhir Piala AFC 2022 Antara Zon menentang kelab India, ATK Mohun Bagan.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, beliau percaya sekiranya permohonan tersebut dibenarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), ia sedikit sebanyak akan membantu persiapan The Hawks.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini KL City berdepan masalah dari segi logistik dan permohonan visa susulan penarikan semula sekatan aktiviti bola sepak ke atas Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) pada Jumaat lalu.

"Kami menyambut baik penarikan sekatan FIFA kepada AIFF. Namun, disebabkan keputusan itu dilakukan pada saat akhir, ia menyebabkan kami juga berdepan beberapa masalah.

Iklan

"Selain itu, kami juga terpaksa menghadapi jadual yang agak padat yang mana sebelum berlepas ke India, kami perlu menghadapi satu perlawanan away (Liga Super) di Sabah.

"Jadi kami memohon kepada AFC untuk mengadakan aksi separuh akhir di Kuala Lumpur. Permohonan telah dihantar kepada AFC dan kami berharap ia diluluskan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, AFC mengesahkan aksi antara City FC dan Mohun Bagan akan diteruskan seperti yang dijadualkan selepas FIFA menarik semula penggantungan sementara terhadap AIFF.

Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, keputusan itu dibuat setelah FIFA berpuas hati dengan perkembangan terkini berhubung pengurusan bola sepak di India.

Dalam pada itu, Stanley berkata, sekiranya permohonan itu tidak diterima, KL City tetap akur dengan segala keputusan yang dikeluarkan AFC.

"Jika tidak diluluskan, kami akan cuba yang termampu bagi mempersiapkan pasukan dalam misi mencipta satu lagi sejarah baharu bola sepak Malaysia,” ujarnya.