MBSJ meriahkan Bulan Kemerdekaan bersama pelajar sekolah

Iklan
Seramai 12 finalis Pertandingan Lagu Patriotik Generasi Bestari MBSJ sempena Bulan Kemerdekaan bergambar bersama pihak pengurusan MBSJ pada Isnin.

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana menganjurkan Pertandingan Lagu Patriotik Generasi Bestari MBSJ sempena Bulan Kemerdekaan.

Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik, MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pertandingan sudah bermula sejak 9 Ogos lalu dan terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan MBSJ.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut dilaksanakan untuk memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kemerdekaan ke-65 di pelbagai peringkat komuniti termasuk pelajar sekolah sekali gus memupuk sikap patriotisme dan sayangkan negara.

"Sebanyak 104 penyertaan diterima daripada peserta berbilang kaum iaitu 61 kategori sekolah rendah dan 43 kategori sekolah menengah dan seramai 12 finalis terpilih bagi menunjukkan bakat dan kehebatan masing-masing bagi menjuarai pertandingan ini.

Iklan

"Juara bagi kategori sekolah rendah dimenangi Noorsamira Mohamad Ali dari Sekolah Kebangsaan Sri Serdang manakala bagi kategori sekolah menengah dimenangi Mohamad Fakhrul Aznil Khairul Anuar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Untuk rekod, program ini merupakan salah satu modul Program Generasi Bestari (Smart Gen) MBSJ yang telah bermula sejak tahun 2017 dan diteruskan pada tahun ini melalui tiga modul utama iaitu Alam Sekitar, Kesihatan Persekitaran dan Cintai Bandaraya.

Iklan

Berteraskan pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya, pelaksanaan program Generasi Bestari ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan di dalam aspek bandar raya kepada para pelajar seterusnya menjadi ejen perubahan yang terpenting kepada keluarga mereka khususnya dan masyarakat keseluruhan amnya.

Azfarizal berkata, pelaksanaan program Generasi Bestari adalah antara inovasi sosial yang terpenting MBSJ ke arah pembentukan masyarakat bandar raya yang madani.

"Kemenjadian pelajar di dalam aspek intelektual, rohani, emosi dan jasmani amatlah penting kepada MBSJ kerana ia pemangkin ke arah pembentukan masyarakat bandar raya yang madani," katanya.

Sehubungan itu, katanya, MBSJ komited dengan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan itu dan PPD Petaling Perdana di dalam agenda pembangunan modal insan para pelajar dan percaya ia adalah satu tanggungjawab besar perlu dimainkan sebagai agensi pihak berkuasa tempatan (PBT).