Hakim perlu bebas pengaruh, tekanan: Sultan Nazrin

Iklan
Sultan Nazrin menyampaikan titah ucapan sempena Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol 1 2022 di Casuarina@Meru di Meru Raya pada Isnin.

IPOH - Hakim merupakan watak penting dalam sistem kehakiman dan perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, selain berperanan besar, hakim juga menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.

Iklan
Iklan

"Penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa," titah baginda sempena Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol 1 2022 di Casuarina@Meru di Meru Raya dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Hakim Syarie negeri, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Iklan

Baginda bertitah, dalam menentukan tahap kompetensi dan kecekapan hakim-hakim, penulisan alasan penghakimanlah yang menjadi medium penilaiannya.

Jelas baginda, alasan penghakiman yang berkualiti dapat menzahirkan kemahiran hakim-hakim dalam menilai sesuatu isu dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip undang-undang dan hukum syarak yang tepat sehingga keadilan dapat diberikan kepada yang berhak.

Iklan

"Penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada pengamal undang-undang.

"Sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu dan penilaian serta penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim dan mengangkat sistem keadilan itu sendiri," kata baginda.

Dalam titah terbabit, Sultan Nazrin turut menzahirkan dukungan sepenuhnya terhadap prinsip kehakiman syariah di negeri ini.

Kata baginda, pertambahan hierarki Mahkamah Syariah di negeri Perak dengan perwujudan Mahkamah Utama Syariah, melalui peruntukan seksyen 44 (3A) dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2018 memberi ruang rayuan yang setara antara kes yang bermula di Mahkamah Rendah Syariah dengan kes yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya.

"Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) pernah menyebut dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 (14th Malaysian Laws Conference), petikan: The [mere] existence of courts and judges in every ordered society proves nothing; it is their quality, their independence, and their powers that matter."

"Sehubungan itu, demi kepentingan keadilan, Beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini," kata Sultan Nazrin.

Baginda menitahkan agar usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis.

Kata baginda, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan.

"Menerbitkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji. Semoga Al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang.

"Beta mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak atas idea dan usaha menghasilkan penerbitan ini," kata baginda.