Sistem tidak teratur, KSM dipenuhi ratusan majikan

Iklan
Pondok pengawal Kompleks D, Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya dipenuhi dengan majikan sejak awal pagi tadi.

PUTRAJAYA - Sistem sesi temuduga pengambilan pekerja asing oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) didakwa tidak teratur dan menyusahkan sehingga mengakibatkan Kompleks D penuh sesak dengan ratusan majikan.

Tinjauan Sinar Harian pada pagi Isnin di kementerian berkenaan mendapati, majikan terpaksa menempuh tiga peringkat sebelum melalui proses temu duga.

Iklan
Iklan

Setiap majikan yang hadir perlu beratur bagi mendapatkan pas masuk di pondok pengawal Kompleks D sebelum beratur lagi sekali di auditorium untuk mendapatkan nombor giliran.

Kemudian, majikan perlu beratur untuk kali ketiga di sepanjang pintu masuk KSM.

Iklan

Difahamkan KSM hanya menghadkan seramai 300 majikan untuk ditemu duga setiap hari, namun kehadiran majikan dari seluruh pelosok negara melebihi kuota tersebut.

Majikan beratur seawal jam 4 pagi.

Buktinya, ratusan kenderaan awam diparkir di sepanjang jalan Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah iaitu sejauh dua kilometer selain diparkir di Jalan Putra Perdana.

Iklan

Salah seorang majikan yang didekati Sinar Harian, Ismail Ibrahim berkata, sistem temuduga pengambilan pekerja asing oleh kementerian itu ibarat 10 tahun terkebelakang.

"Teruk sangat," keluhnya.

Ismail

Ujar Ismail, KSM sepatutnya membuka lebih banyak kaunter berikutan kehadiran majikan dari seluruh negara.

"Saya hadir jam 8 pagi tadi, tapi tak dapatlah nombor giliran," kata wakil syarikat pembuatan yang memohon 20 pekerja asing itu.

Sementara itu, Mikael Abdullah yang merupakan wakil syarikat pembinaan berkata, dia terpaksa pulang dengan hampa selepas nombor giliran telah habis.

"Saya datang sini jam 4 pagi, tadi akhirnya nombor giliran untuk hari ini dah habis, jadi terpaksa lagi datang esok," katanya.

Menurut Mikael, KSM sepatutnya membahagikan sesi temu duga mengikut sektor bagi mengelakkan kesesakkan.

"Contohnya kementerian boleh memperuntukkan beberapa hari untuk satu-satu sektor ditemu duga, contohnya dua hari untuk sektor pembinaan begitu juga dengan sektor-sektor lain," katanya.

Ujar Mikael, sistem yang teratur boleh membantu pengurusan temu duga tersebut berjalan lancar.

"Awak bayangkan, hari Jumaat lepas ada majikan sektor pembinaan yang datang dari Johor, apabila sampai dimaklumkan penemu duga dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) tidak hadir, jadi kena datang hari ini.

"Apabila hadir hari ini, nombor pula habis. Perlu lagi sekali hadir sekali lagi esok. Ini sudah tentu menelan kos yang tinggi bagi majikan yang hadir dari luar Lembah Klang," luahnya.

Justeru dia mencadangkan kepada KSM akan mewujudkan nombor giliran secara dalam talian (online).

"Jadi kami tidak perlu hadir dua atau tiga kali semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran," katanya.

Jammaluddin

Sementara itu, pengarah urusan kilang penyembelihan, Jammaluddin Samad berkata, sesi temu duga yang diadakan di ibu pejabat KSM dilihat tidak praktikal.

"Kementerian ini mempunyai cawangan di setiap negeri, kenapa hanya di buat di sini," soalnya.

Seawal jam 6.40 pagi, dia telah terpacak di pondok pengawal, namun turut pulang hampa.

"Untuk melepasi pondok pengawal pun mengambil masa hampir dua jam.

"Sebelum ke sini saya solat Subuh di Masjid Putra dan hanya dapat nombor giliran untuk esok. Hari ini sudah habis," katanya.

Rosmarina

Sementara itu, wakil sumber manusia syarikat pembuatan sarung tangan, Rosmarina Bakar berkata, beliau bernasib baik mendapat nombor giliran.

"Selepas berjuang, saya dapat nombor giliran ke-130 hari ini dan dimaklumkan jika terlepas nombor ini, saya perlu hadir semula esok," katanya.