MAINS tambah baik program pendidikan anak asnaf

Iklan
Abdul Aziz (duduk dua dari kiri) beramah mesra dengan kakitangan MAINS dan penerima rumah Mawaddah MAINS.

PORT DICKSON - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menambah baik program Aspirasi Kecemerlangan Asnaf untuk anak-anak asnaf di negeri ini selepas melihat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 golongan itu tidak begitu memuaskan.

Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, berdasarkan rekod seramai 465 anak asnaf mengambil SPM pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Kita ada bantuan pendidikan tetapi nampaknya pencapaian SPM baru ini (tahun 2021) tidak seperti diharapkan. Jadi kita akan kaji, tengok macam mana untuk tambah baik lagi program itu seterusnya akan datang prestasi SPM menjadi lebih baik malah cemerlang.

"Contohnya tuisyen, kalau tuisyen sedia adapun keputusan tidak bagus, tenaga pengajarnya mungkin kita kena tukar. Mungkin semangatnya tidak sama ataupun fokus subjek tertentu, sebab sekarang ini ilmu itu penting untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka, kena ada pengetahuan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Rumah Mawaddah MAINS daerah Port Dickson di Jalan Tepi Sungai,Kampung Jimah Lama pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat 4,794 asnaf di Negeri Sembilan dan MAINS berperanan sebagai pentadbir dalam mengutip seterusnya mengagihkan zakat kepada yang memerlukan.

Iklan

"Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, MAINS berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM71.2 juta kepada asnaf terdiri daripada amil, fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, riqab dan gharimin.

"Agihan lain meliputi bantuan kebajikan, bantuan perubatan dan hemodialisis, bantuan keusahawanan, bantuan pendidikan serta bantuan bencana alam dan musibah.

"Kita turut berusaha meningkatkan sosioekonomi dan pembangunan asnaf dengan melibatkan pelbagai pihak dan agensi. Usaha ini agar suatu hari nanti golongan asnaf ini akan keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, MAINS kini turut meningkatkan jumlah bantuan bulanan mengikut kadar had kifayah yang layak bagi asnaf.

"Bagi kadar had kifayah fakir adalah minimum RM250 hingga RM800, manakala bagi kadar had kifayah miskin adalah minimum RM250 hingga RM550," katanya.

Sementara itu, beliau berharap MAINS dapat terus menyumbang kepada usaha memperkasakan institusi Islam di Negeri Sembilan selain usaha MAINS memberikan kesedaran, motivasi dan iktibar kepada lebih ramai pihak untuk membayar zakat agar wang yang diterima dapat disalurkan kepada seluruh penerima yang memerlukan.