PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo dijangka berpeluang memenuhi impiannya beraksi di Liga Juara-Juara selepas Manchester United dilaporkan bersedia meminjamkannya ke Napoli musim ini.
Malah The Red Devils didakwa sedia membayar gaji pemain berusia 37 tahun itu bagi memastikan perjanjian tersebut terlaksana, lapor Gazzetta dello Sport.
"Gazzetta berkata, United sedia meneruskan pembayaran gaji Ronaldo ketika dia beraksi sebagai pemain pinjaman bersama Napoli musim ini," menurut laporan itu.
Pengurusan Napoli diketahui sangat mengagumi rekod penjaring terbilang itu.
Pengurus Napoli, Luciano Spalletti mengesahkan pada Ahad bahawa sedia bekerjasama dengan kapten Portugal itu.
"Jika anda tanya saya sama ada mahu bekerja dengan Ronaldo, saya kata kepada anda tiada mana-mana jurulatih yang akan berkata tidak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tuttosport turut melaporkan perkara sama.
"Proses rundingan wujud. Jorge Mendes mengetuainya secara personal. Jika United sedia membayar gaji penuh pemain mereka yang beraksi bersama kelab lain, ia situasi paling pelik dalam sukan bola sepak,” katanya.
Bagaimanapun Napoli mungkin membayar sekurang-kurangnya separuh daripada gaji lumayan Ronaldo £420,000 (RM2.196 juta) seminggu.