KUALA LUMPUR - Tiga pulau dalam negara dicadang dijadikan Pulau Tenaga Hijau menggunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB), menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, pulau-pulau berkenaan ialah Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu serta Pulau Tioman di Pahang.
Katanya, kertas cadangan mengenai inisiatif berkenaan telah dibentang kepada Kabinet, Jumaat lepas.
"Kita cadang mulakan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tadi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umum satu lagi pulau iaitu Pulau Tioman.
"Kerajaan memang serius dan kita harapkan walaupun tidak seluruh negara, ada komponen seperti pulau-pulau ini yang gunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu,” katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 oleh perdana menteri, di sini hari ini.
Perdana menteri ketika berucap berkata inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau ini adalah antara empat sistem pembekalan elektrik negara.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) kini sedang disediakan kerajaan dengan kerjasama Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.
"Ia penting kerana akan beri kita garis panduan bagaimana untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata ketetapan dasar serta inisiatif pembangunan tenaga lestari dijangka dapat mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sektor bekalan elektrik.
Beliau berkata penetapan dasar serta inisiatif tersebut juga akan menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan pelaburan sehingga RM33 bilion dan mewujudkan 47,000 peluang pekerjaan langsung.
"Komitmen inj memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari," katanya. - Bernama