KUALA LUMPUR - Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) yakin kolaborasi bersama Turkish Airlines dapat meningkatkan kepercayaan pelancong terutamanya jemaah umrah terhadap pentadbiran pakej yang ditawarkan oleh syarikat pelancongan tersebut.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kolaborasi menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian antara Turkish Airlines bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd itu bertujuan membawa jemaah umrah untuk musim 1444H bagi pelepasan pada Ogos tahun ini sehingga Mei 2023.
Ujar Ida Riswana, pelepasan berkenaan melibatkan 111 penerbangan bagi menempatkan seramai 5,040 orang penumpang dan membabitkan nilai kontrak berjumlah RM1,764,000 keseluruhannya.
"Antara tujuan Andalusia meneruskan perjanjian dengan Turkish Airlines bagi tahun ke-10 adalah untuk memudahkan jadual penerbangan jemaah ke Turkiye sebelum mengerjakan umrah dan juga kepada mereka yang suka melancong ke negara itu sebagai destinasi pelancongan.
"Alhamdulillah dengan kerjasama ini di masa hadapan, Andalusia yakin mutu perkhidmatan Turkish Airlines dan Andalusia akan menjadi lebih baik lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Menandatangani Perjanjian antara Turkish Airlines bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah Negara Turkish Airlines, Muhammed Hamza Arslan dan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah.
Jelas Ida Riswana, Andalusia akan terus komited dalam usaha mengekalkan dan mempertimbangkan mutu perkhidmatan yang lebih baik dan selesa kepada jemaah.
Menurutnya, hasrat tersebut seiring dengan sasaran Andalusia untuk menghantar seramai 60,000 jemaah umrah bagi musim 2022/2023.
"Di masa hadapan juga, Andalusia mempunyai rancangan untuk membawa lebih ramai pelancong dari Turkiye ke Malaysia sejajar dengan lawatan perdagangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye baru-baru ini bagi memberi lebih banyak lagi kolaborasi antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammed Hamza berkata, kolaborasi bersama Andalusia pada Isnin membuka lebih banyak peluang serta ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan melalui pakej-pakej ditawarkan khususnya kepada jemaah umrah.
Menurutnya, sempena pembukaan sempadan pada tahun ini, orang ramai menjadi lebih yakin untuk melancong ke negara luar termasuk Turkiye sebagai destinasi pelancongan.
"Kita lihat apabila jemaah umrah pulang dari mengerjakan umrah, mereka merancang untuk melancong ke negara lain.
"Itu memberi kami peluang untuk membuat perancangan bagi pakej musim yang akan datang. Dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti, banyak perkara yang akan kami bincangkan bersama Andalusia,” jelasnya.