Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Floria Diraja 2022

Iklan
Tunku Azizah (kiri) berkenan melakukan lawatan pada Perasmian Festival Bunga & Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Presint 4 hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2022 serta melawat tapak festival di Anjung Floria di sini yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah ke Floria Diraja Putrajaya 2022 disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Seri Paduka berkenan meluangkan masa lebih sejam melawat sekitar tapak festival.

Iklan
Iklan

Pada majlis itu, Tunku Azizah turut dipersembahkan dengan spesies orkid Philonopsis sebagai kenang-kenangan daripada Perbadanan Putrajaya.

Ketika bertitah, Seri Paduka menzahirkan kecintaan terhadap tanaman hiasan serta sayur-sayuran dengan menjadikan aktiviti penanaman sebagai aktiviti harian baginda bersama kakitangan di Istana Negara.

Iklan

"Kebun ini masih ada, cuma kerana kesibukan (ketika ini), kuranglah ke kebun. Tapi saya juga minta warga Istana Negara untuk tanam pokok bunga pula,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah (dua dari kanan) berkenan merasmikan Festival Bunga & Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Presint 4 hari ini. Bernama

Festival edisi ke-12 bertemakan Floria Hebat itu bagi pencinta tanaman hiasan dan bunga-bungaan membuka tirainya kepada pengunjung mulai hari ini hingga 4 Sept ini.

Iklan

Festival yang dianjurkan sejak 2007 oleh Perbadanan Putrajaya, Kementerian Wilayah serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu menjanjikan pengalaman indah buat pengunjung dengan dua pemandangan berbeza pada waktu siang dan malam.

Festival itu akan dilimpahi dengan pancaran dan kesan lampu khas pada waktu malam di setiap laluan dan kawasan utama seperti Red Carpet, Oncidium Tunnel, Debdrobium Walk dan Taman Fantasi.

Bersesuaian dengan pemilihan bunga orkid sebagai bunga tema, festival itu menghimpunkan kira-kira 10,000 pokok orkid dan 400,000 tanaman pelbagai spesies.

Turut dipamerkan ialah Taman Keluarga Malaysia dengan konsep yang diadaptasi melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. - Bernama