MELAKA - Seorang pekerja swasta, Azren Hussin muncul juara pertandingan memancing Surfcasting Ambang Merdeka di Pantai Tambak Klebang, di sini pada Ahad.
Azren, 47, menaikkan ikan pari 6.015 kilogram (kg) pada jam 9.40 pagi sekali gus menewaskan lebih 1,170 peserta yang mengambil bahagian.
Dengan kemenangan itu, Azren dari Port Dickson, Negeri Sembilan membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan hamper.
Tempat kedua dimenangi Mohd Khairil Abdul Kadir, 31, dari Jitra, Kedah apabila berjaya menaikkan ikan pari seberat 5.970 kg untuk menerima hadiah wang tunai RM6,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Salehuddin Mohd. Noor, 57, dari Kuala Lumpur juga menaikkan pari seberat 5.340 kg dan membawa pulang pulang RM3,000.
Hadiah kepada pemenang disempurnakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu, Samsuddin Johari. Turut hadir, Pengasas Wakjali Event Management (WJE), Md Zali Kasran dan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Abdul Jameel Abdul Jabar.
Md Zali berkata, pertandingan anjuran Wakjali Event Management itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia yang dianjurkan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2022.
"Pantai yang ditambak sejauh 1.8 kilometer dari pantai asal itu berjaya menarik pemancing dari seluruh negara termasuk dari Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang.
"Lebih 600 ikan yang dipancing peserta dihantar ke meja hakim untuk ditimbang manakala sekurang-kurangnya 12 pemancing berputih mata apabila pertarungan dengan ikan bersaiz mega, berakhir dengan kekalahan apabila tali pancing terputus,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berikutan kejayaan penganjuran kali pertama itu, penganjur menjangkakan pertandingan serupa akan diadakan di lokasi sama dalam masa terdekat.
"Ini berikutan permintaan sebahagian besar peserta yang berpendapat lokasi berkenaan adalah medan terbaik berbanding lokasi memancing lain di negeri ini.
"Meskipun kemudahan logistik di sini agak kekurangan, namun berikutan banyak spesis ikan dan dan bersaiz besar di sini membuatkan pemancing gembira untuk mencadangkan acara akan datang diadakan di lokasi yang sama,’’ kata Md Zali.
Pertandingan seterusnya anjuran WJE ialah di Jeti Tanjung Sepat, Selangor pada 3 September ini yang menawarkan hadiah lebih RM7,000.
Pertandingan malam minggu itu bermula jam 8.30 hingga 11.30 malam.