Di akhirat saya yang kena tanggung: Fitri Haris

Iklan
Fitri Haris

KEGAGALAN rumah tangga di samping kesibukan kerjaya seni, tidak menjadi alasan buat Fitri Haris mengabaikan tanggungjawab terhadap puteri tunggalnya, Sofea Solehah, 15 tahun.

Biarpun anaknya itu kini tinggal bersama bekas isteri di Singapura, namun setiap kali bertemu juara Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua ini tidak pernah lupa untuk menitipkan pesanan dan nasihat berpandukan kisah para sahabat nabi buat Sofea.

Iklan
Iklan

"Apabila berjumpa dengan anak, saya suka bercerita mengenai kisah-kisah sahabat nabi tentang tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

"Sementara ilmu asas fardu ain pula saya akan periksa lebih kepada rukun solat dan bacaan lazim yang wajib serta solat berjemaah.

Iklan

"Seminggu sekali saya mesti akan hubungi menerusi aplikasi Whatsapp ataupun video call untuk mengetahui perkembangannya.

"Saya akan selalu ingatkan dia dan juga minta bekas isteri saya pantau anak dengan mengaji. Bagi saya itu penting sebab tanggungjawab sebagai bapa, nanti esok di akhirat saya yang kena tanggung,” ujarnya.

Iklan

Untuk rekod Fitri atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris, 34, dan bekas isterinya sudah berpisah sejak lapan tahun lalu.

Masih berbaki sebulan untuk menjadi calon PhD (Musicology) pada hujung tahun ini di Universiti Nottingham, United Kingdom, Fitri yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia, Sintok, memberitahu, meski berjauhan dengan anak, dia tetap mengambil berat perkembangan Sofea.

"Minggu lepas saya hadir ke sekolah untuk ambil buku prestasi laporan pelajar. Andai ada yang tak kena saya akan terus tegur sambil diselitkan sekali cara hidup Islam fasal keredaan dan sabar,” jelas Fitri.

Fitri turut menyifatkan hubungannya dengan anak ibarat kawan akrab.

Fitri Haris

"Dia ada satu perangai yang suka berkongsi cerita tentang kawan-kawan. Dalam pada itu saya kaitkan ilmu agama dengan dunia realiti atas apa yang telah dia lalui dalam kehidupan seharian.

"Dalam erti kata lain saya berikan nasihat sebagai kawan,” katanya yang bakal mengambil giliran untuk menjaga anaknya bermula tahun depan.

Ditanya adakah Sofea juga bakal mewarisi bakat bapanya sebagai penyanyi, Fitri tidak menafikan perkara tersebut.

"Sejujurnya dia juga minat menyanyi dan pandai bermain gitar. Beberapa kali masuk pertandingan menyanyi mesti dia menang.

"Jadi, seandainya esok bila dah habis belajar kalau dia nak jadi penyanyi, saya tak halang sebab saya tahu bagaimana industri di Malaysia dan saya juga boleh jaga dia,” jelas Fitri yang bakal mengadakan persembahan pentas sempena Hari Minggu Setiausaha di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 23 April ini.