BAYAN LEPAS - Seorang remaja perempuan ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, di sini pada Isnin.
Remaja terbabit yang berusia 13 tahun itu dikatakan terjatuh daripada tingkat 11 kondominium berkenaan.
Difahamkan, kejadian pada jam 6.30 pagi itu disedari ibunya sebelum menghubungi polis untuk bantuan.
Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan tertiarap di bumbung parkir di kondominium berkenaan.
Mayat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh sepasukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit.
Jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.48 pagi lalu bergegas ke lokasi kejadian.
"Kerja membawa turun mayat mangsa dilakukan dan selepas disahkan meninggal dunia, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan seterusnya," katanya pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan terperinci mengenai kejadian terbabit sedang dijalankan.