Tiga pelajar dakwa dipukul senior sebab lapor hisap vape

Iklan
Seorang pelajar parah manakala dua lagi lebam-lebam pada badan susulan dipukul dan dibuli senior di sebuah sekolah menengah harian berasrama di Chukai pada Sabtu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Hanyan

KEMAMAN - Tiga pelajar di sebuah sekolah menengah harian berasrama di Chukai, di sini mendakwa dipukul dan dibuli oleh senior gara-gara melaporkan tindakan mereka memiliki dan menghisap vape dalam kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima tiga laporan yang dibuat ketiga-tiga mangsa berusia 13, 14 dan 15 tahun itu pada 27 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

"Ketiga-tiga mangsa mendakwa menjadi mangsa buli dan dipukul oleh senior-senior di asrama.

"Mangsa turut mendakwa perkara itu berlaku disebabkan mereka telah melaporkan perbuatan senior-senior memiliki dan menghisap vape," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut Hanyan, mangsa pertama mengalami kecederaan parah pada bahagian telinga serta lebam pada badan.

"Kecederaan dialami mangsa pertama boleh dikatakan parah kerana laporan awal mengatakan gegendang telinga sebelah kanannya pecah.

Iklan

"Dua lagi mangsa mengalami lebam-lebam pada bahagian badan. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan, namun tidak ditahan di wad," katanya.

Bertindak daripada laporan itu, Hanyan berkata, sehingga jam 3.30 petang pada Isnin, pihak polis telah menahan 11 suspek berusia 13 hingga 16 tahun di sekitar Chukai, di sini.

"Kesemua suspek yang berasal dari Kemaman itu ditahan reman selama empat hari sehingga 1 September depan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah," katanya.