BENTONG - Dua beranak kehilangan duit simpanan mereka dalam akaun bank keseluruhan berjumlah hampir RM12,000 selepas mendakwa menekan satu pautan iklan kerja berkaitan perkhidmatan mencuci rumah.
Nurul Azilawati Abu Khalid, 34, kerugian RM500 manakala ibunya, Habsah Johari, 53, kehilangan wang simpanan sebanyak RM11,300 pada 18 Ogos lalu.
Menurut Nurul Azilawati, sebelum kejadian itu, dia menekan satu pautan mengenai iklan kerja perkhidmatan mencuci rumah di laman Facebook.
"Saya tertarik dengan iklan tersebut dan mereka memberikan pautan untuk membuat pembayaran yuran sebanyak RM15.90. Bagaimanapun transaksi dalam talian terbabit tidak berjaya. Jadi, saya hubungi kembali ejen iklan dan dimaklumkan akaun milik bank mereka dalam proses naik taraf. Mereka meminta saya gunakan akaun bank lain namun tetap gagal membuat transaksi.
"Mereka kemudian memberitahu akan membuat semakan. Saya rasa tidak sedap hati dan terus memeriksa akaun sendiri dan milik ibu saya. Kami berdua hilang duit," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nurul Azilawati, hasil semakan mendapati sebanyak RM500 dalam akaunnya dipindahkan untuk transaksi Touch' n Go sedangkan dia tidak berbuat demikian bahkan tiada menerima notifikasi TAC.
"Saya periksa akaun ibu dan mendapati ia digunakan untuk empat pemindahan melibatkan dua transaksi sebanyak RM10,000 atas akaun seorang lelaki dan selebihnya dua transaksi berjumlah RM1,300 untuk Touch' n Go," katanya yag merupakan peniaga kuih.
Secara keseluruhan ibunya kehilangan wang sebanyak RM11,300.
Anak beranak itu membuat laporan polis pada hari sama.
"Sedih sangat sebab duit saya itu hendak digunakan sebagai modal meniaga manakala duit ibu pula hasil simpanan pencen miliknya," katanya lagi.
Dalam pada itu Nurul Azilawati berkata, dia membuat laporan kepada pihak bank yang memaklumkan perkara tersebut dalam siasatan.
"Penat memikirkan hasil kerja keras selama ini tiba-tiba hilang dengan begitu saja," katanya.