TINDAKAN spontan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky 'melutut' adalah sebagai satu penghormatan dan tanda meraikan kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Jepun pada Ahad.
Sejurus Aaron-Wooi Yik berjalan keluar dari gelanggang selepas menewaskan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14, Rexy dilihat melutut kepada Aaron sebelum mereka saling berpelukan bagi meraikan kejayaan pingat emas sulung negara di pentas berprestij itu.
Rexy memberitahu, kejayaan Aaron-Wooi Yik itu juga menutup 'pintu' tekanan dihadapi sepanjang kejohanan berlangsung yang penuh dengan jangkaan serta harapan daripada penyokong mahupun BAM sendiri.
"Kita harus tahu, situasi dalam minggu ini dipenuhi dengan jangkaan tinggi daripada semua peminat mahupun rakyat Malaysia. Malah, BAM mahu melihat kita dapat mencipta sejarah meraih gelaran di Kejohanan Dunia ini.
"Semua tekanan itu dirasai dalam satu minggu ini. Jadi di saat mereka memenangi perlawanan, ia seperti saya perlu menghormati apa yang pemain sudah lakukan dan saya melutut untuk memberikan penghormatan perjuangan yang sudah diberikan mereka,” kata Rexy dalam satu sidang media secara dalam talian pada Isnin.
Kejayaan Aaron-Wooi Yik di Tokyo itu menamatkan penantian 45 tahun negara untuk menonjolkan pemain yang bergelar juara dunia, sekali gus menamatkan badi kekalahan di separuh akhir dan final buat mereka selepas digandingkan pada 2017.
"Aaron-Wooi Yik begitu bergelut sebelum ini. Mereka adalah beregu nombor satu di Malaysia dan tak pernah menang satu pun gelaran. Namun mereka berjaya melepasi semua halangan itu di sini dan meraih gelaran pertama di kejohanan utama.
"Jadi, itu satu penghargaan saya kepada perjuangan mereka di lapangan, maka saya melutut untuk menyambut kemenangan mereka,” kata Rexy yang sebelum ini turut pernah meraih gelaran juara dunia ketika bergandingan bersama Ricky Subagja di Lausanne pada 1995.