SHAH ALAM - Enam sungai di negeri Selangor melibatkan empat daerah di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling dilaporkan melebihi paras bahaya dan waspada ekoran hujan lebat berterusan.
Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 12 tengah malam, empat sungai masing-masing satu di Hulu Langat dan Kuala Langat serta dua di Sepang menunjukkan trend meningkat melebihi paras bahaya.
Iklan
Iklan
Ia melibatkan Sungai Beranang di Pekan Beranang, Hulu Langat dengan bacaan 32.1 meter (m); Sungai Langat di Dengkil, Sepang (7.5m); Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang (11m) dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat (4.2m).
Selain itu, dua lagi sungai iaitu Sungai Bakul di Kampung Budiman (Petaling) dan Sungai Jenderam di Jenderam Hulu, Sepang masing-masing mencatatkan bacaan 7.4m dan 11m melebihi paras waspada.
Pada Isnin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan melibatkan 13 negeri kecuali Melaka sehingga jam 10 malam ini.