'Kami belum terima permohonan KL City'

Iklan
Windsor

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) masih belum menerima sebarang permohonan daripada pengurusan Kuala Lumpur City FC (KL City) berhubung penukaran venue aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon yang dijadual berlangsung 7 September ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan sewajarnya jika juara Piala AFC Zon ASEAN itu membuat permohonan tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau memberitahu, sekiranya KL City mahu mengubah tarikh perlawanan tersebut, pihak AFC agak sukar untuk menerima permohonan itu kecuali ia merupakan situasi Force Majeure (luar kawalan).

"Setakat ini kami masih belum menerima apa-apa permohonan daripada KL untuk menukar venue bagi perlawanan separuh akhir Piala AFC Antara Zon menentang kelab India, ATK Bahan Mogun.

Iklan

"Bagaimanapun, sekiranya ada permohonan daripada kelab tersebut sampai ke pihak AFC dalam masa terdekat, kami akan menelitinya terlebih dahulu.

"Apa yang saya boleh katakan ketika ini, peluang itu agak sukar sekiranya mereka mahu menukar jadual perlawanan kecuali berlaku situasi Force Majeure,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, KL City telah mengemukakan permohonan untuk menjadi tuan rumah bagi aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon menentang Mohun Bagan.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, beliau percaya sekiranya permohonan tersebut dibenarkan AFC, ia sedikit sebanyak akan membantu persiapan The Hawks.

Difahamkan, KL City membuat permohonan itu kerana berdepan masalah dari segi logistik dan permohonan visa susulan penarikan semula sekatan aktiviti bola sepak ke atas Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

Penarikan balik penggantungan itu bermakna skuad kebangsaan India dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) seperti Piala Asia 2023.

Selain pasukan kebangsaan, kelab India juga kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dan Piala AFC jika terlibat di pusingan seterusnya.

Minggu lalu, KL City melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai final Piala AFC Zon ASEAN selepas menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.