LEBIH 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak berminat menyambung pelajaran bukanlah satu statistik yang harus dipandang remeh oleh orang ramai.
Kaji selidik yang dibuat pada 31 Julai lalu oleh Jabatan Perangkaan adalah dari tahun 2019 dan dipercayai berterusan sehingga tahun 2020 dan 2021 adalah antara tahun-tahun negara berada dalam keadaan kritikal di mana ekonomi negara terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
Ini secara tidak langsung menyebabkan ramai rakyat menderita kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Jadi tidak mustahil salah satu alasan lepasan SPM dan STPM yang tidak berminat menyambung pelajaran adalah disebabkan ingin membantu keluarga yang berada di dalam kesusahan.
Pada mereka biarlah berkorban membantu keluarga dengan melakukan apa juga pekerjaan asalkan tidak menyambung pelajaran yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
Diyakini juga, faktor ekonomi menjadi punca ramai pelajar hari ini mencari pendapatan sendiri demi kelangsungan hidup.
Perubahan semasa juga menyebabkan minat lepasan SPM dan STPM untuk menyambung pengajian kian luntur dan mungkin ada antaranya yang dipengaruhi dengan mentaliti pendidikan tidak menjamin masa depan.
Begitupun, ada sekelompok pelajar yang percaya dengan pelajaran sahaja mampu mengubah nasib diri dan keluarga.
Untuk itu, kerajaan disarankan agar membuat sesuatu seperti mengurangkan kadar yuran di institusi pengajian tinggi (IPT), menawarkan kursus jangka pendek, waktu belajar yang fleksibel dan tawaran kursus yang bersesuaian dengan sektor ekonomi semasa dalam usaha menarik lepasan SPM dan STPM melanjutkan pelajaran.
Senario di mana anak-anak muda lebih terpengaruh dengan gaji yang sepadan dan waktu kerja fleksibel juga seharusnya diberikan perhatian.
Sebenarnya, apa yang terjadi ini bukanlah kerana mereka tidak mahu menyambung pengajian tetapi mereka turut bergelut untuk hidup.
Oleh yang demikian, sesuatu perlu dilakukan agar usaha melahirkan generasi yang berpendidikan akan berterusan dan tidak terbantut.
Jadi marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan sekali gus menjamin masa depan para pelajar.