ALOR SETAR - Seorang bekas penolong pengurus di sebuah agensi tidak menyangka gambar tilam kekabu dijahitnya yang dikongsi di Facebook pada 2015 membuka pintu rezeki untuk berkembang dengan lebih maju sebagai pengeluar produk kelengkapan tidur bayi.
Berkongsi kejayaan tersebut, Suriya Sakuri, 36, yang kini memperoleh pendapatan bulanan sehingga lima angka berkata, pada awal tahun 2015, dia diduga apabila gajinya dikurangkan lebih 50 peratus berbanding gaji asal RM3,000 sebulan sehingga memaksanya untuk berjimat-cermat.
"Waktu itu, saya buntu apabila hilang separuh pendapatan malah rakan-rakan yang sama jawatan dengan saya juga mengalami perkara yang sama. Emosi saya juga terganggu kerana memikirkan perkara ini.
"Banyak perbelanjaan terpaksa dikurangkan dan kami sekeluarga perlu berjimat-cermat. Saya ambil keputusan menjahit sendiri tilam dan sarung bantal anak kedua yang bakal dilahirkan," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Pusat Perniagaan Shahab Utama, Taman Senangin, Alor Setar pada Ahad.
Suriya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor berkata, selepas siap tilam bayi yang dijahit, dia berkongsi gambar hasil jahitannya di media sosial dan tidak menyangka ia mendapat perhatian sehingga ada yang berminat untuk menempahnya.
Jelasnya, kesempitan kewangan yang dihadapi ketika itu membuatkan dia memberanikan diri menerima tempahan untuk mencari pendapatan tambahan walaupun tidak mempunyai asas menjahit ataupun mengikuti kelas menjahit sebelum ini.
"Waktu itu saya terima sahaja tempahan kerana memang perlukan pendapatan tambahan. Syukur pelanggan gembira dan sejak itu saya mula berani menerima tempahan dengan setiap set dijual pada harga RM160.
"Alhamdulillah pada Jun 2015, hasil jualan saya berjaya mencecah RM1,800 sebulan dan selepas itu saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
"Tangan saya menggigil semasa menghantar notis berhenti bekerja memikirkan adakah ini keputusan tepat, namun saya nekad selepas berfikir sedalam-dalamnya," ujarnya yang merupakan graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pengarah SSC Kekabu Enterprise itu berkata lagi, rezekinya semakin bertambah selepas berhenti kerja sehinggakan dia perlu menyewa rumah di sebelah rumahnya untuk dijadikan bengkel dan mengambil seorang pekerja pada 2018 berikutan tempahan semakin meningkat.
Menurutnya, tempahan tilam bayi meningkat tiga kali ganda semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 menyebabkan mereka perlu menyewa sebuah lot bangunan di Taman Senangin akibat peningkatan operasi dan pertambahan mesin jahit.
"Selepas beberapa bulan kemudian, kami dapat menyewa sebuah lagi lot bangunan dan sehingga kini sudah mempunyai 11 pekerja dan tiga pekerja praktikal. Kami bersyukur kerana jualan pelbagai produk di seluruh negara telah mencecah RM50,000 sebulan.
"Kami juga mahu produk kami ini dapat masuk ke kedai-kedai peralatan bayi di seluruh negara selain dalam perancangan melebarkan sayap perniagaan ke Singapura dan Brunei," katanya yang mendapat sokongan penuh suaminya, Mohd Badrul Kamal Mohd Nor, 37.