BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diharap dapat memberi tumpuan kepada kejuaraan berprestij lain terutama Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kejayaan merangkul gelaran Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad.
Itu nasihat legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek selepas menyaksikan perkembangan positif dipamerkan jagoan beregu negara yang mengakhiri badi separuh akhir sebelum melabuh tirai edisi Tokyo 2022 dengan kejayaan membanggakan arena sukan Malaysia.
"Ini merupakan satu petanda yang baik buat Aaron-Wooi Yik selepas beberapa kali terkandas di separuh akhir dalam beberapa kejuaraan tahun ini.
"Seharusnya status juara dunia akan mematangkan lagi corak permainan kedua-duanya apabila kita dapat lihat keyakinan tinggi mereka yang diterjemahkan dalam perlawanan akhir.
"Status juara dunia bukan satu tekanan sebaliknya satu cabaran kepada mereka untuk terus meningkatkan kualiti permainan pada masa depan terutamanya di Paris 2024 yang menjadi kejuaraan tertinggi setiap pemain badminton.
"Saya harap mereka lebih bersemangat mencipta kejayaan lebih besar selepas ini dan paling penting jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian di Tokyo, sebaliknya baiki kelemahan sedia ada kerana selepas ini pastinya menjadi tumpuan lawan di setiap kejohanan.
"Menang kalah itu adat pertandingan setiap kejohanan, namun apa yang perlu diberikan pemain adalah berjuang bermati-matian demi lencana di dada dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Aaron-Wooi Yik memahat sejarah apabila muncul permain Malaysia pertama bergelar juara dunia selepas 45 tahun apabila menewaskan pasangan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam perlawanan akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad.
Pada masa sama Razif percaya pencapaian diraih selepas lapan percubaan pemain negara termasuk empat kali menerusi beregu lelaki di kejuaraan berprestij itu sebelum ini menjadi tanda aras baharu sukan badminton tanah air pada masa depan.
"Sejujurnya saya bangga apabila kita akhirnya berjaya melahirkan juara dunia setaraf Denmark, Indonesia dan Singapura dalam acara beregu lelaki buat pertama kali setelah berusaha sekian lama.
"Saya berharap kejayaan Aaron-Wooi Yik ini menjadi titik tolak untuk kita berusaha melahirkan juara dunia dalam acara perseorangan lelaki, wanita, beregu wanita, beregu campuran.
"Pencapaian Aaron-Wooi Yik ini juga secara tidak langsung akan menjadi suntikan semangat kepada para pemain pelapis negara mengikuti langkah beregu nombor satu negara ini,” katanya.
Razif juga berharap barisan kejurulatihan negara menerapkan strategi lebih ampuh dalam kalangan pemain negara selepas kejayaan di Tokyo tersebut.
"Sejujurnya saya lihat Rexy Mainaky dan barisan kejurulatihan memainkan peranan penting di belakang tadbir di sebalik kejayaan Aaron-Wooi Yik.
"Kepulangan semula Rexy Mainaky ke pangkuan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sejak Disember juga merupakan faktor utama kejayaan Aaron-Wooi Yik bergelar juara dunia baharu.
"Strategi menyerang dan bertahan kedua-dua pemain kita ini juga cukup bagus dalam perlawanan akhir kali ini. Ini menjadikan pemain kita lebih matang dalam memilih corak permainan berdasarkan situasi semasa perlawanan, ini satu perkembangan positif,” katanya.