Negara perlu mula bina generasi penamat rasuah

Iklan
Nurhayati ketika Forum Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia 2022 yang bertemakan ‘Generasi Penamat Budaya Rasuah dan Salah Guna Kuasa Dalam Konteks Malaysia-Indonesia’ yang diadakan secara maya pada Isnin.

SHAH ALAM - Negara perlu memulakan usaha untuk membina sebuah generasi penamat yang bebas daripada rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, hasrat tersebut boleh dimulakan terhadap generasi baharu yang lahir semasa tempoh pandemik.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pembinaan generasi penamat itu perlu dilakukan melalui pembentukan sistem moral dan kepercayaan yang kukuh.

"Jadi, kita perlu wujudkan iltizam supaya generasi yang lahir semasa 2020 dan ke atas menjadi generasi yang memang benci dan tolak rasuah-habis-habisan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa Forum Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia 2022 yang bertemakan ‘Generasi Penamat Budaya Rasuah dan Salah Guna Kuasa Dalam Konteks Malaysia-Indonesia’ yang diadakan secara maya pada Isnin.

Program anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia itu turut dihadiri oleh Pensyarah kanan Fakulti Humaniora, Universiti Presiden (PresUniv), Dr Muhammad A S Hikam dan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Salleh.

Iklan

Nurhayati berkata, berdasarkan kepada pengalamannya terlibat secara langsung memberikan advokasi antirasuah di peringkat akar umbi, generasi baharu sememangnya memiliki pemahaman agak cetek terhadap rasuah.

"Tetapi untuk bertemu dengan risiko situasi rasuah yang lain, sebenarnya mereka belum biasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah amat penting untuk semua pihak terbabit termasuk kerajaan, masyarakat dan ibu bapa sendiri untuk memiliki kesedaran bagi membina kapasiti dan kesedaran dalam kalangan generasi baharu terhadap gejala rasuah.

Pada masa sama, meskipun mengakui bahawa teladan kepimpinan merupakan merupakan antara prasyarat penting terhadap usaha membanteras rasuah, Nurhayati berkata, takrifan kepemimpinan perlu dilihat secara lebih luas.

"Jadi apa yang Rasuah Busters terapkan adalah setiap daripada kita adalah pemimpin yang sebenarnya perlu meletakkan tanggungjawab perubahan dan integriti kepada diri sendiri dan bukan semestinya bergantung kepada pihak lain,” jelasnya.

Sementara itu, Mohammad Fazril berkata, beliau yakin bahawa generasi baharu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kumpulan pemutus rantaian gejala rasuah yang berlaku di dalam negara.

Mohammad Fazril ketika Forum Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia 2022 yang bertemakan ‘Generasi Penamat Budaya Rasuah dan Salah Guna Kuasa Dalam Konteks Malaysia-Indonesia’ yang diadakan secara maya pada Isnin.

Katanya, perkara itu dapat dilakukan melalui pemupukan budaya murni yang sememangnya wujud dalam tradisi masyarakat di Malaysia.

"Kami cukup yakin bahawa yang kita sebutkan sebagai budaya itu sebenarnya sesuatu yang mampu dibentuk tidak kira budaya baik atau buruk.

"Dia bukan datang secara tiba-tiba dari langit tapi dia adalah satu usaha pemupukan yang dibibit, dibaja dan kemudiannya tumbuh sebagai satu budaya,” ujarnya.

Mohammad Fazril berkata, tradisi budaya masyarakat Malaysia sebenarnya kaya dengan elemen yang memberikan penekanan terhadap menekankan prinsip integriti antaranya melalui kewujudan istilah jujur, harga diri, maruah dan tahu malu.