Statut Rom: UMNO Selangor desak kerajaan tarik diri

Iklan
Ismail Sabri (tengah) bersama perwakilan UMNO Selangor memegang plakad bantahan Statut Rom.

SHAH ALAM - Umno Selangor mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan menandatangani Statut Rom yang mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sehingga membelakangkan perlembagaan.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO Selangor membantah Statut Rom dan mendesak Malaysia menarik diri daripada menyertai perjanjian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya tiga negara di Asia Tenggara menandatangani perjanjian tersebut termasuk Kemboja dan Filipina.

"Namun Filipina dah tarik diri, negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand tidak tandatangani perjanjian itu, begitu juga negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan India.

Iklan

"Kenapa Malaysia terburu-buru, apa keuntungannya sehingga membelakangkan perlembagaan dan tidak mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja?," soalnya ketika sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini.

Katanya, UMNO Selangor akan menghantar memorandum bantahan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secepat mungkin.

Iklan

"Bagi mempertahankan raja-raja Melayu yang termaktub dalam perlembagaan 38 (4), UMNO Selangor menentang sekeras-kerasnya Statut Rom dan mendesak Malaysia tarik diri dan membatalkan perjanjian itu.

"Bantahan ini hanya di peringkat Selangor tapi yakin dengan pandangan keseluruhan UMNO turut menentang Statut Rom," katanya.

Statut Rom adalah satu perjanjian yang mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Malaysia menandatangani perjanjian Statut Rom pada 4 Mac 2019.

Jelas Ismail Sabri, Statut Rom isu mengejut yang tidak dibincangkan secara terbuka seperti ICERD.

"ICERD dimaklumkan terlebih dahulu untuk membolehkan rakyat menilai dan mengambil tindakan tetapi Statut Rom sebaliknya apabila ditandatangani terlebih dahulu dengan maklumat yang kurang jelas

"Perjanjian Statut Rom mula difahami selepas mendapat penjelasan dalam kalangan peguam dan sampai kepada rakyat yang mula sedar mengenai isu itu," katanya.