Satu kampung meriah penuh bendera

Iklan
Jalur Gemilang pelbagai saiz menghiasi halaman rumah penduduk Kampung Chulek.

GOPENG - Reka hias kediaman dan kenderaan dengan Jalur Gemilang menyemarakkan kemeriahan sambutan Kemerdekaan ke-65 di Kampung Chulek di sini.

Lebih menarik apabila penduduk kampung sepakat mengindahkan kediaman masing-masing dengan kibaran bendera di setiap halaman dan penjuru rumah hingga mewarnai setiap pelosok kampung.

Iklan
Iklan

Suasana itu menambah seri perkampungan berkenaan yang terkenal sebagai sebuah kawasan eko pelancongan dan sering menjadi tumpuan pengunjung untuk aktiviti riadah termasuk sukan ekstrem.

Penduduk, Mohd Hanif Tan Nazis, 39, berkata, lebih 100 bendera baharu pelbagai saiz dipasang di keliling rumahnya sejak dua minggu lalu.

Kediaman Mohd Hanif yang ceria dihiasi Jalur Gemilang.

Iklan

Menurutnya, semua ahli keluarga termasuk ibu mentuanya bekerjasama memasang serta menghias Jalur Gemilang dan sanggup mengeluarkan belanja hampir RM300 untuk tujuan itu.

"Ibu mentua saya paling bersemangat, siap dihias basikal dengan Jalur Gemilang. Kami juga hasilkan wau untuk diletakkan atas bumbung rumah.

Iklan

"Sebagai tambahan, saya pasang lampu hiasan berwarna-warni supaya malam jadi lebih meriah," katanya yang bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Siti Hajar Abdul Fatah, 50, pula berkata, dia sanggup mencari bekalan bendera hingga ke Ipoh, Kampar dan Batu Gajah yang terletak hampir 20 kilometer dari Gopeng untuk menghiasi rumahnya.

Siti Hajar menghiasi rumah pusaka yang didiami bersama suami dengan kibaran Jalur Gemilang.

Katanya, sejak dua minggu lalu, banyak kedai di kawasan itu telah kehabisan stok bendera menunjukkan masing-masing bersemangat menyambut kemerdekaan tahun ini.

"Tahun ini memang semangat itu lain macam termasuk saya dan suami. Walaupun kami duduk di rumah pusaka, tetapi kami tetap nak nampak rumah ini meriah dengan semangat patriotik.

"Hiasan-hiasan dengan warna-warna Jalur Gemilang ini pun saya jahit sendiri," katanya.

Inisiatif menganjurkan kempen menghias rumah sempena sambutan kemerdekaan itu digerakkan Gopeng Glamping Park yang merupakan lokasi pelancongan unik menawarkan percutian gaya perkhemahan glamor.

Pengarah Urusan Gopeng Glamping Park, Mohd Nor Arif Mohd Azmi berkata, kempen Halaman Rumah Merdeka yang dimulakan sejak awal Ogos itu bagi memastikan semangat kemerdekaan dapat dirasai penduduk pelbagai lapisan umur.

"Kami sangat berbesar hati kempen ini mendapat sambutan dan berharap, pada tahun akan datang dapat diperluaskan melibatkan lebih banyak kampung di sekitar Gopeng ini.

"Langkah ini secara tidak langsung menjadi satu tarikan kepada pelancong kerana di sini kita ada juga menyediakan aktiviti mengayuh basikal sekeliling kampung.

"Sejak dua minggu lalu, pelancong yang datang rasa seronok dan berhenti di setiap rumah penduduk untuk mengambil gambar," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Gopeng Glamping Park, Mohd Riduan Jamaludin berkata, sebagai menghargai semangat penduduk, mereka turut menyediakan hadiah kepada setiap penyertaan dengan peruntukan hampir RM10,000.

Mohd Riduan

Katanya, daripada 80 kediaman yang ada di Kampung Chulek, hampir 30 rumah telah menyahut kempen itu.

"Hadiah utama kita sediakan wang tunai antara RM100 hingga RM700 selain 30 cabutan bertuah berupa hamper dan barangan elektrik.

"Ini sebagai menghargai penduduk kampung yang selama ini banyak membantu pihak pengurusan termasuk mempromosikan kawasan ini kepada penduduk luar," katanya.

Kibaran bendera dan Jalur Gemilang yang boleh dilihat di Kampung Chulek sebagai tanda semangat menyambut kemerdekaan.