IMF luluskan pinjaman AS$1.1 bilion kepada Pakistan

Iklan
Ekonomi Pakistan mengalami situasi sangat buruk yang terkesan akibat perang di Ukraine, dan cabaran domestik. - Foto EPA

NEW DELHI - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Isnin meluluskan perjanjian pinjaman dengan Pakistan untuk mengeluarkan kira-kira AS$1.1 bilion dalam pembiayaan baharu untuk membantu negara itu mengatasi kemelut ekonominya.

"Lembaga IMF telah meluluskan program pemulihan EFF (Kemudahan Pembiayaan Lanjutan) untuk kami. Kini kami sepatutnya mendapat bayaran kali ke-7 dan ke-8 sebanyak $1.17 bilion," kata Menteri Kewangan Pakistan, Miftah Ismail.

Iklan
Iklan

Sambungan pembiayaan IMF untuk Pakistan di bawah program pembiayaan AS$6 bilion yang dipersetujui pada Julai 2019 diluluskan selepas kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif baru-baru ini menerima syarat IMF yang berpangkalan di AS, termasuk penyatuan fiskal dan kenaikan harga petrol.

Pembiayaan untuk tempoh 39 bulan itu digantung awal tahun ini apabila kerajaan Imran Khan sebelum ini menawarkan bahan api dan elektrik pada kadar subsidi.

Iklan

Lembaga IMF pada Isnin juga meluluskan lanjutan EFF sehingga akhir Jun 2023 dan meningkatkan jumlah akses di bawah kemudahan itu kepada kira-kira AS$6.5 bilion.

"Program ini bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan dalam dan luar negara, dan memastikan disiplin fiskal dan kemampanan hutang sambil melindungi perbelanjaan sosial, menjaga kestabilan kewangan, dan mengekalkan kadar pertukaran yang ditentukan pasaran dan membina semula penimbal luar," kata IMF dalam satu kenyataan.

Iklan

"Penyambungan semula program IMF itu secara rasmi adalah langkah besar ke hadapan dalam usaha negara meletakkan ekonomi Pakistan kembali di landasan," kata Shehbaz dalam catatan media sosial.

Kehabisan rizab pertukaran asing, peningkatan inflasi dan kejatuhan nilai rupee berbanding dolar AS telah memburukan masalah ekonomi Pakistan.

Kerajaan Shehbaz, yang berkuasa sejak April, telah menaikkan harga bahan api dan tarif elektrik secara mendadak untuk memenuhi syarat penyelamat yang ketat IMF dengan langkah berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai.

"Ekonomi Pakistan sedang mengalami situasi yang sangat buruk, yang terkesan akibat perang di Ukraine, dan cabaran domestik, termasuk daripada dasar akomodatif yang mengakibatkan pertumbuhan tidak sekata dan tidak seimbang.

"Pelaksanaan mantap dasar pemulihan dan pembaharuan kekal penting untuk mendapatkan semula kestabilan makroekonomi, menangani ketidakseimbangan dan meletakkan asas untuk pertumbuhan inklusif dan mampan," kata Timbalan Pengarah Urusan dan Pemangku Pengerusi IMF, Antoinette Sayeh. - Bernama