Guna wanita Indonesia 'pancing' pelanggan

Iklan
Imigresen menahan 25 wanita asing dipercayai terlibat kegiatan pelacuran dalam serbuan di sebuah hotel dan kondominium di Puchong, Selangor pada Jumaat lalu.

PUCHONG - Sebuah hotel dan kondominium di sini yang dipercayai menjadi sarang pelacuran tumpas selepas 25 wanita asing diberkas pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Op Gegar kira-kira jam 5 petang yang dijalankan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut berjaya menahan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis selain rampasan wang tunai, kondom dan buku kehadiran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tangkapan melibatkan 25 wanita berusia 18 hingga 47 tahun dan hasil semakan mendapati mereka terdiri daripada 20 warga Indonesia, Thailand (tiga) dan Vietnam (dua).

"Siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu ini menggunakan warga Indonesia berpenampilan seperti wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan akan diberikan kata laluan untuk masuk ke hotel.

Katanya, bayaran yang dikenakan sebanyak RM240 bagi sekali langganan.

Iklan

Tambahnya, pelacur yang sihat dan boleh bekerja akan ditempatkan di hotel dan akan bekerja bermula jam 11 pagi hingga jam 4 pagi keesokan harinya manakala pelacur yang tidak sihat dan tidak boleh bekerja akan ditempatkan di kondominium dijaga oleh 'mummy'.

"Mereka tidak dibenarkan keluar meninggalkan rumah dan tempat kerja. Pergerakan mereka akan sentiasa diawasi oleh penjaga," ujarnya.

Beliau berkata lagi, siasatan juga mendapati kondominium itu dijadikan tempat transit wanita yang baru tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur.

Tegasnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).