170 botol air ketum dirampas

Iklan
Norzamri (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 170 botol air ketum yang dirampas di IPD Maran di sini, hari ini.

KUANTAN - Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas kira-kira 170 botol berisi air ketum di sebuah rumah kedai di kawasan industri Bandar Jengka, Maran, semalam

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 petang di rumahnya itu, pihaknya telah merampas 170 botol air ketum oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan suspek terkejut dengan kehadiran anggota polis kerana dipercayai sedang menunggu pelanggannya

"Hasil pemeriksaan yang kita lakukan di kawasan premis tersebut, kita telah menjumpai 255 liter air ketum yang diisi ke dalam 170 botol yang setiap satunya mempunyai isipadu 1.5 liter.

Iklan

"Dengan penjualan air tersebut, dia mampu memperoleh sekitar RM1,500 sehari dan siasatan kita juga mendapati suspek yang juga buruh ladang tersebut baru sahaja menjalankan aktiviti itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Maran, hari ini.

Norzamri berkata, pihak polis juga kini sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang juga pengedar dan pemproses air ketum di daerah ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.

Iklan

Norzamri berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

"Kita percaya air ketum berkenaan untuk pasaran sekitar Maran namun difahamkan ada pelanggannya yang datang dari luar daerah ini seperti dari Temerloh, Jerantut dan Bentong.

"Suspek kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambahnya, suspek juga turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di negara ini.