PUTRAJAYA - Membelanjakan ‘harta’ pinjaman ALLAH SWT ke jalan yang diredai merupakan salah satu cara untuk menghakis sikap sombong seseorang individu.
Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata, harta yang dimaksudkan itu bukan sahaja melibatkan wang ringgit, tetapi juga merangkumi kepakaran atau tenaga yang boleh memberi manfaat kepada pihak lain.
"Marilah kita bersihkan sifat sombong ini dengan cara kita bersujud kepada ALLAH SWT dan menunaikan segala suruhan. Kita juga perlu menjaga diri daripada melakukan perkara yang dilarang.
"Salah satu cara untuk kita hakis atau bersihkan diri daripada sifat sombong ini adalah membelanjakan harta pinjaman daripada ALLAH SWT dengan cara yang betul,” katanya ketika berucap dalam sesi Pesan Tokoh bertajuk ‘Sujud dan Sedekah’ pada program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.
Zakaria berkata, umat Islam juga diseru supaya ‘membersihkan’ segala sumber atau harta yang diperoleh serta ke arah mana ia digunakan supaya tidak terjebak dalam perkara yang dilarang ALLAH SWT.
"Satu pesanan penting yang saya ingin sampaikan bahawa bersihkanlah harta yang kita peroleh itu sama ada daripada segi punca atau pelaksanaannya supaya tidak mengambil atau memberikan harga kepada perkara yang tidak sepatutnya.
"Sebagai umat Islam, kita perlu sedar bahawa mengambil atau memberi harta (untuk tujuan rasuah) adalah amat dilarang sekali dan balasan ALLAH SWT sangat dahsyat,” katanya.
Malaysia #QuranHour kali kelapan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang berlangsung pada Selasa membawa solusi dari Surah Al-Sajdah dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya akan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.