AutoGen Plus bantu tampung kos baiki kereta terpakai

Iklan
Alexander (enam dari kiri) menyempurnakan pelancaran AutoGen Plus di Hotel Berjaya Times Square pada Selasa.

EAUTOGEN Capital membantu pemilik kereta lama dan terpakai menampung kos pembaikan enjin dan transmisi (kotak gear) menerusi program lanjutan jaminan, AutoGen Plus.

Pengarah Urusan eAutoGen Capital Sdn Bhd, Ray Khor berkata, dengan kadar serendah RM298 setahun, kenderaan persendirian terpakai berusia sehingga 10 tahun dengan bacaan odometer dalam jarak 200,000 kilometer layak mengikuti program tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut mendapat kerjasama daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Syarikat Permotoran & Kredit Malaysia (FMCCAM) bakal memberi nilai tambah pengedar kereta terpakai kepada pelanggan mereka.

"Selain meringankan beban kewangan pemilik kereta, AutoGen Plus bertujuan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran kereta terpakai yang kurang dikawal selia. AutoGen Plus ditaja jamin oleh Berjaya Sompo Insurance.

Iklan

"Kerjasama dengan FMCCAM yang mempunyai rangkaian kepada lebih 4,000 pengedar kereta dijangka mampu memberikan keyakinan dan ketelusan terhadap pasaran kereta terpakai," katanya pada pelancaran AutoGen Plus di Hotel Berjaya Times Square di sini pada Selasa.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Iklan

Turut hadir, Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor.

Ray berkata, sebelum mengaktifkan program jaminan lanjutan, semua kereta di bawah program itu wajib menjalani ujian diagnosis dan pemeriksaan singkat oleh pemeriksa yang dilantik.

"Ia bagi melindungi pengedar dan pembeli kereta terpakai daripada sebarang risiko. Antara yang dilakukan termasuk pemeriksaan status kereta curi dan kondisi kereta bagi mengelak menanggung kos pembaikan yang tinggi.

"Ini pastinya dapat memberikan keyakinan buat kedua belah pihak ketika membeli kereta lama,” katanya.

Sementara itu, Tony berkata, kerjasama itu adalah langkah tepat dalam memberikan jaminan perlindungan kenderaan kepada pengguna kereta terpakai yang sebelum ini berdepan kelemahan daripada aspek perundangan.

"Ketiadaan lemon law yang sangat diperlukan menyebabkan kedua-dua peniaga dan pembeli tidak mempunyai perlindungan undang-undang.

"Pemeriksaan pra-pengaktifan ini merupakan kunci utama jaminan bagi memenuhi permintaan kereta terpakai yang semakin meningkat,” tambahnya.

Menerusi AutoGen Plus katanya, pemilik kereta mendapat akses pembaikan di 200 bengkel panel terpilih yang akan melakukan penyelenggaraan dan pembaikan kerosakan secara berkala.