Agrobank lancar Kempen #AgrobankTeguhBersama

Iklan
Tengku Ahmad Badli bersama kakitangan Agrobank pada majlis simbolik pelepasan kontinjen Agrobank yang akan menyertai acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos.

KUALA LUMPUR - Agrobank melancarkan Kempen Bulan Kemerdekaan, #AgrobankTeguhBersama bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia ke-65 dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik sepanjang 16 Ogos hingga 16 September 2022.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, seawal penubuhan pada tahun 1969, #AgrobankTeguhBersama Malaysia, kekal fokus secara aktif dalam mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Agrobank menawarkan pelbagai produk dan solusi kewangan patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, pengguna, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara sejak lebih 50 tahun yang lalu.

"Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Agrobank teruja untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan,” katanya pada acara simbolik pelepasan kontinjen Agrobank yang akan turut serta dalam acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka.

Iklan

Tengku Ahmad Badli berkata, bermula pada 18 Ogos, Agrobank telah menaikkan bendera gergasi Malaysia berukuran 100x150 kaki di bangunan Menara Agrobank.

"Secara simboliknya adalah bagi memperingati peristiwa bersejarah di mana Tunku Abdul Rahman bersama Tun Tan Cheng Lock dan Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Abdul Wahab Abdul Aziz yang telah diarak menggunakan kereta klasik model ‘Nash Rambler Custom Convertible 1951’ pada Majlis Sambutan Kepulangan Rombongan Merdeka dari London, di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 yang telah merintis kepada detik bermakna, Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, Agrobank menerusi Agrobank Cycling Club dengan kerjasama Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Pelangi telah menganjurkan program Kayuhan Amal Merdeka, satu inisiatif tanggungjawab sosial ke Cameron Highland selama tiga hari dua malam bermula pada Jumaat, 26 Ogos lepas.

Program Kayuhan Amal Merdeka itu diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi bersama pengayuh yang terdiri daripada warga kerja Agrobank.

Selain itu, Agrobank turut melancarkan pelbagai aktiviti di peringkat bank termasuklah pertandingan mencipta video bertemakan #AgrobankTeguhBersama dan #KeluargaAgrobankers (22 Ogos hingga 4 September), Pakaian Kebudayaan (29 Ogos hingga 4 September) dan Cabaran Larian Agro Merdeka (5 hingga 16 September) dalam kalangan warga kerja Agrobank.

Turut diadakan ialah Karnival Agro Merdeka pada 14 September ini dengan pelbagai program menarik termasuklah gerai makanan, ‘Jom Makan-Makan’ dan kraftangan bertemakan #KeluargaMalaysia, permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban serta tayangan filem bertemakan #KeluargaMalaysia.

Bersempena Kempen Bulan Kemerdekaan pada tahun ini juga, Agrobank turut memberikan kelainan dengan menghasilkan satu filem pendek istimewa bertajuk"Berbudi Pada Tanah” yang menampilkan karyawan-karyawan hebat seperti seniwati Wan Maimunah, Azri Iskandar, Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah.

Filem pendek yang berdurasi tujuh minit itu boleh mula ditonton di laman YouTube rasmi Agrobank dan semua saluran media sosial rasmi Agrobank yang lain seperti Facebook dan Instagram, pada Selasa jam 9 malam.