[DIKEMAS KINI] PERSATUAN Sukan Elektronik Pahang@E-Sports Pahang meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas bagi skuad tersebut di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan membuka tirainya bermula 16 hingga 24 September ini.
Pengerusi persatuan, Husyin Abd Murat berkata, seramai 16 pemain menggalas cabaran Pahang dalam temasya tersebut yang julung kalinya memperkenalkan acara terbabit bagi kategori Pro Evolution Soccer (PES), Mobile Legend (ML) dan Dota.
Menurutnya, biarpun menyedari saingan sengit yang akan dihadapi, persatuan tersebut tetap mengharapkan sebutir emas dapat dikutip dalam acara tersebut.
"Kita melihat negeri Terengganu, Kedah dan Johor antara pencabar kuat dalam acara ini.
"Kita menyasarkan pingat perak, gangsa namun jika boleh sebutir emas turut dapat dibawa pulang oleh skuad Pahang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujar beliau, antara pemain yang menggalas cabaran Pahang dalam temasya tersebut antaranya Muhammad Nasrullah Abd Razak, Atif Muzakkir Nashruddin, Sheikh Muhammad Faizzuddin Sheikh Zakaria, Muhammad Shahrul Asmawi Sazarul dan Amir Faisal Abdul Rahim dengan bimbingan jurulatih Syed Shahibul Muhammad Daniel Syed Shahibul Fadhillah (PES),Muhammad Azrul Amir Zafrullah (ML) dan Chow Yao Wen (Dota).
Skuad itu akan memulakan cabaran dalam acara tersebut pada 17 September ini.
Sementara itu, beliau juga memberitahu, persatuan amat menghargai komitmen kerajaan negeri dalam membantu perkembangan sukan elektronik di Pahang.
"Diharapkan dengan suntikan semangat dan dana untuk pengurusan akademi e-sport boleh menjadikan para atlet bersemangat untuk terus berjuang mendapatkan pingat dalam Sukma yang mendatang," ujar beliau.