Pelajar Kolej Komuniti Baling bakal terbang ke Switzerland

Iklan
Nurul Farhana yang dianugerahkan The Most Outstanding Greenhorn sempena Battle of the Chefs di Pulau Pinang baru-baru ini.

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar Kolej Komuniti Baling bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan World Skills di Switzerland tahun depan sekiranya melepasi saringan akhir pada Oktober ini.

Pengarah Kolej Komuniti Baling, Dr Reezlin Abdul Rahman berkata, pelajar Sijil Pastri, Nurul Farhana Abdul Mutalib, 21, kini sedang melalui sesi latihan untuk menyertai pertandingan akhir World Skill Malaysia Belia (WSMB) 2022.

Nurul Farhana yang dianugerahkan The Most Outstanding Greenhorn sempena Battle of the Chefs di Pulau Pinang baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertandingan itu akan berlangsung di Terengganu pada Oktober ini dan menjangkakan Nurul Farhana berjaya melayakkan diri sebelum ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, katanya, persediaan rapi dan latihan kini sedang diatur bagi memastikan Nurul Farhana mampu melepasi halangan sehingga melayakkan beliau bersaing bersama pakar masakan di peringkat antarabangsa.

Iklan

Tambahnya, Nurul Farhana telah berjaya mengharumkan nama Kolej Komuniti Baling apabila memenangi enam pingat termasuk satu emas, satu perak dan empat gangsa dalam Battle of the Chefs 2022 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Beliau turut dianugerahkan The Most Outstanding Greenhorn kerana telah memenangi pingat terbanyak mengalahkan beberapa peserta lain termasuk dari luar negara seperti Korea, Pakistan, Filipina dan Amerika Syarikat," katanya.

Pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Baling bersama pingat yang dimenangi sempena Battle of the Chefs di Pulau Pinang baru-baru ini.

Iklan

Dalam pertandingan itu, Kolej Komuniti Baling telah menghantar sebanyak 13 penyertaan terdiri daripada pensyarah dan pelajar, di mana kesemua mereka berjaya membawa balik pingat dalam kesemua penyertaan.

Sementara itu, Nurul Farhana berkata, kejayaan yang dikecapi setakat ini adalah hasil didikan dan tunjuk ajar pensyarah yang banyak membimbingnya.

"Saya tidak menyangka diberi pengiktirafan biarpun berdepan pakar masakan dari seluruh negara dan luar negara serta mengharapkan agar terus kekal memperoleh kejayaan sehingga mampu melayakkan diri sehingga ke Switzerland tahun depan," katanya.