Pas tidak akan bubar DUN sebelum Mac tahun depan

Iklan
Takiyuddin

SHAH ALAM - Pas yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal daripada Mac tahun depan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan berkenaan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian yang diadakan pada Isnin dan akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 hingga 4 September ini.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri diterajui oleh Pas tidak akan membubarkan DUN masing-masing lebih awal dari Mac 2023 atas dasar tumpuan lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama ekonomi dan kesihatan.

"Pas mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan, Pas juga secara tegasnya memutuskan bahawa tiada kerjasama akan dibuat dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan PH mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15 termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’," katanya.

Iklan

Takiyuddin berkata, bagaimanapun Pas tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

"Pas amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia," tambah beliau.

Sebelum ini pimpinan UMNO mendesak supaya PRU15 diadakan segera, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti tersebut meminta semua pihak supaya 'menunggu' pengumuman tarikh pilihan raya umum berkenaan.