Malaysia tidak iktiraf sekatan berbentuk sehala

Iklan
Ismail Sabri berkesempatan mengadakan perbualan telefon bersama Ebrahim Raisi pada Isnin.

SHAH ALAM - Malaysia tidak mengiktiraf sekatan yang berbentuk sehala terhadap mana-mana negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia hanya akan tertakluk kepada sekatan yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iklan
Iklan

"Walaupun begitu, berikutan pendedahan risiko susulan mempunyai transaksi dengan pihak di Amerika Syarikat (AS), ia telah menimbulkan permasalahan dalam urusan transaksi perniagaan dan pembukaan akaun bagi warga Iran kepada sesetengah entiti Malaysia.

"Saya berharap akan ada perkembangan positif segera melibatkan rundingan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Iklan

"Ia secara tidak langsung akan membantu memudah cara urusan perniagaan dengan Iran selain menyelesaikan isu-isu lain termasuk isu perbankan dihadapi rakyat negara tersebut,” katanya menerusi perbualan telefon bersama Presiden Republik Islam Iran, Seyyed Ebrahim Raisi pada Isnin.

Beliau berkata, rundingan terbaharu telah diadakan pada 4 hingga 8 Ogos lalu dengan semua pihak terlibat tertumpu untuk memuktamadkan teks JCPOA yang diusulkan oleh Kesatuan Eropah (EU) selaku penyelaras rundingan.

Iklan

"Iran telah mengemukakan komennya terhadap teks tersebut pada 15 Ogos 2022 manakala AS telah mengemukakan maklum balasnya terhadap teks tersebut pada 24 Ogos 2022,” ujarnya.

Jelas beliau, Malaysia amat berpuas hati dengan keakraban hubungan antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1968.

Katanya, kedua dua negara sering bersependapat dalam pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam.

"Saya mengharapkan agar hubungan baik ini akan terus diperkukuh pada masa akan datang berikutan Iran adalah antara rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat.

"Menyedari rintangan yang sedang dihadapi akibat kekangan daripada sekatan sehala ke atas Iran, Malaysia bersedia membincangkan kaedah dan pendekatan lain bagi memudahcara urusan antara kedua-dua pihak.

"Sebagai permulaan, ia mungkin khusus kepada item-item yang dibenarkan di bawah mekanisme sedia ada,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu pemberhentian operasi Mahan Air ke Kuala Lumpur sejak 13 Ogos 2022 susulan isu teknikal, Ismail Sabri memaklumkan pihak berkaitan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu ‘refueling’ dihadapi syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kerajaan Malaysia berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan Mahan Air dapat meneruskan operasinya ke KLIA secepat mungkin,” katanya.

Untuk rekod, pada 2021, Iran merupakan rakan dagang ketujuh besar Malaysia di Asia Barat.

Jumlah dagangan dua hala pada 2021 bernilai RM2.63 billion, peningkatan sebanyak 68.2 peratus berbanding 2020.