7 warga asing direman bantu siasatan kes bunuh

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Tujuh warga asing direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, permohonan reman sehingga 5 September itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi Selasa.

Iklan
Iklan

"Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata, proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Isnin, polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

Iklan

Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira jam 6.30 pagi. - Bernama