SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) wajar menolak sebarang bentuk rundingan dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua PKR Shah Alam, Mohd Najwan Halimi menyambut baik kenyataan tegas Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli yang menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan PN menjelang PRU15.
Menurutnya, rakyat tidak lupa pengkhianatan yang dilakukan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengikutnya pada Februari 2020 sehingga meruntuhkan pentadbiran yang dipilih oleh rakyat dalam (PRU14).
"Ternyata, Muhyiddin dan gerombolan pengkhianat di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin terdesak dan tanpa perasaan malu mulai menggesa agar parti-parti pembangkang bekerjasama dengan mereka.
"Tidak malukah pimpinan Bersatu yang sebelum ini mengkhianati rakan-rakan dalam PH untuk membentuk kerajaan bersama golongan kleptokrat tetapi kini mahu mengkhianati BN dengan membentuk kerjasama dengan PH pula?"
"Kini jelas Bersatu tidak lebih sekadar sebuah parti politik picisan yang tidak punya prinsip dan sekadar memikirkan tentang kuasa," kata beliau menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Najwan mendesak agar pimpinan PKR dan PH tegas menolak sebarang bentuk rundingan atau kerjasama politik dengan PN di semua peringkat.
Ujarnya, parti itu perlu menggerakkan ikhtiar untuk memperkukuh PH dalam usaha memenangi kembali sokongan rakyat seterusnya memenangi PRU15 kelak.
Pada Isnin, PH membuat keputusan muktamad untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15.
Rafizi Ramli berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat PH pada Rabu lalu.